Masyarakat Orang Asli di Kampung Chang Lama, Bidor, Perak, semalam mengadakan bantahan terhadap sebuah syarikat yang didakwa menceroboh tanah adat mereka.
Tok batin kampung itu, Dahil Yok Chopil berkata penduduk menemui papan tanda di kawasan Jegog, yang memaparkan nama syarikat terbabit dan amaran penceroboh akan dikenakan tindakan undang-undang.
“Tindakan ini jelas melanggar prinsip Deklarasi PBB Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), yang menyatakan izin makluman awal bebas dan telus (Free, Prior and Informed Consent) diperlukan daripada komuniti Orang Asli Kampung Chang Lama Sungai Gepai, yang mana tidak pernah diberikan.
“Kami sudah serik untuk bertolak ansur dan tidak mahu saki-baki tanah dan wilayah adat yang ada sekarang dirampas seperti yang telah berlaku untuk projek penternakan khinzir, penanaman Musang King, penternakan lembu, chalet, penanaman kelapa sawit, sayur, getah, jambu dan pembinaan kuil.
“Projek-projek ini langsung tidak memberikan manfaat dan faedah kepada komuniti Orang Asli Kampung Chang Lama Sungai Gepai, malah merugikan dan menghilangkan hak kami ke atas tanah dan wilayah adat, menyebabkan kami terus hidup di bawah garis kemiskinan,” kata Dahil dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu turut menyebut nama syarikat berkenaan – yang merupakan syarikat kuari – tetapi Malaysiakini tidak akan mendedahkannya sementara menunggu maklum balas pihaknya.
Mengulas lanjut, Dahil menggesa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membatalkan hak milik tanah syarikat tersebut di kawasan terbabit.
Dia juga meminta Jakoa dan kerajaan Perak agar mengiktiraf kawasan itu sebagai tanah rizab Orang Asli bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Kami sudah beberapa kali membuat penyerahan peta komuniti bersurat rasmi dan memorandum untuk menuntut kerajaan negeri agar mengiktiraf tanah dan wilayah adat Kampung Chang Lama Sungai Gepai sebagai Rizab Orang Asli.
“Tetapi sehingga kini kerajaan negeri masih tidak mengiktirafnya,” katanya lagi.
Selain itu, Dahil turut mempersoalkan sama ada syarikat tersebut mendapat kebenaran bertulis atau tidak daripada Jakoa untuk masuk ke kawasan berkenaan.
Katanya lagi, Jakoa perlu memantau keberadaan mana-mana syarikat di tanah adat Orang Asli.

Dahil berkata syarikat itu telah diberi pajakan selama 30 tahun bermula pada 14 Februari 2007 sehingga 26 Mei 2022.
Satu lanjutan pajakan selama 44 tahun, yang akan berakhir pada 25 Mei 2066, telah didaftarkan pada 29 November 2021, katanya lagi.
Dia menjelaskan kawasan Jegog merupakan tempat suci bagi komuniti mereka yang menjadi tempat upacara “bercagoh” (berdoa) dan “berselai” (bercucuk tanam tanaman bergilir balik seperti ubi kayu, jagung dan padi bukit)
“Di dalam kawasan tersebut dan sekitarnya juga terdapat kubur lama, termasuk kubur Moyang Tangkut dan kubur Moyang Mawai, seorang ‘halak entoi’ (pengamal perubatan tradisi paling kuat) yang pernah menetap di situ,” katanya lagi.
Pertindihan tanah kerajaan dan Orang Asli
Dahil turut membangkitkan tanggapan salah bahawa tanah adat Orang Asli adalah “plot atau lot kosong dan tiada tuan tanah”.
Tanggapan ini bercanggah dengan hakikat yang masyarakat orang asli telah lama ada di kawasan tersebut sebelum sistem pemilikan tanah Torrens diperkenalkan, katanya lagi.
“Akibatnya, berlakunya pertindihan ‘tanah kerajaan’, pelbagai jenis ‘Rizab’, dan lot persendirian ke atas tanah dan wilayah adat Orang Asli
“Saya berharap kali ini perkara pengiktirafan tanah dan wilayah adat Orang Asli dipandang serius dan dilaksanakan.
“Ini agar isu, perbalahan dan polemik tanah dan wilayah adat dapat diselesaikan dan tidak memberikan tekanan, kegelisahan, kerunsingan, barah, dan bom jangka untuk Orang Asli,” katanya lagi.
