ADS
mk-logo
Berita
Banjir Selangor: Dua mati akibat renjatan elektrik, lebih 900 dipindah ke PPS
Diterbitkan:  Apr 11, 2025 11:04 PM
Dikemaskini: 3:27 PM

Dua individu ditemui mati di Selangor ketika air banjir akibat hujan lebat memaksa lebih 900 orang di negeri itu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kedua-dua kematian dipercayai berpunca daripada renjatan elektrik.

“Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan penggunaan barang-barang elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik,” kata Ketua Polis Daerah Shah Alam Iqbal Ibrahim.

Mayat pertama ditemui pagi ini di sebuah kedai barangan binaan yang turut didiami oleh mangsa di Taman Alam Indah, Seksyen 25, Shah Alam.

Mangsa merupakan warga asing berumur 27 tahun dan ditemui terapung dalam keadaan tertiarap bersama bangkai seekor anjing, kata Iqbal.

ADS

Kematian kedua melibatkan seorang penghantar makanan warga tempatan berumur 24 tahun yang ditemui mati petang tadi di rumahnya di Kampung Padang Jawa, Klang.

Menurut Iqbal, siasatan awal mendapati mangsa terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas semasa rumah dinaiki air.

Sementara itu, laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyatakan empat PPS telah dibuka di seluruh Selangor setakat jam lapan malam ini. Tiga PPS di Petaling dan satu lagi di Klang.

ADS

Banjir kali ini menjejaskan 930 orang daripada  281 keluarga di Selangor, menurut laporan itu yang memetik data daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Laporan itu  juga memaklumkan jumlah mangsa di daerah Petaling semakin meningkat, sementara jumlah mangsa di Klang kekal.

Banjir di Batu Pahat, Johor pula telah menyebabkan 203 orang terpaksa dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan. Tetapi jumlah itu menunjukkan penurunan.

Di Nabawan, Sabah, seramai 263 orang terjejas akibat banjir dengan jumlahnya dijangka terus meningkat. Sebuah PPS telah dibuka bagi menempatkan mereka.

Lokasi pusat pemindahan

New Straits Times pula melaporkan Exco Pengurusan Bencana Selangor Najwan Halimi memaklumkan bahawa tiga PPS di Petaling terletak di Dewan Kenanga di Seksyen 28, Shah Alam, Sekolah Kebangsaan Shah Alam di Seksyen 16, dan Dewan Camelia di Putra Heights, Subang Jaya.

Dia berkata tiga PPS juga telah dibuka di Klang, iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Dewan Azalea di Taman Seri Muda, dan Dewan Bunga Bakawali di Seksyen 35.

“Proses pemindahan, pendaftaran dan pengiraan mangsa sedang berjalan di semua PPS. Maklumat mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Keutamaan kita adalah untuk memindahkan mangsa terlebih dahulu. Sebaik sahaja hujan berhenti dan air surut, kita akan menyelaraskan bantuan sukarelawan untuk kerja-kerja pembersihan.

“Mungkin juga akan ada bantuan kewangan (daripada kerajaan negeri), tetapi ini hanya akan disalurkan kepada mereka yang berdaftar secara rasmi di PPS. Jika mereka memasuki pusat pemindahan, kita akan menguruskan pengagihan bantuan kewangan kepada mangsa,” kata Najwan kepada pemberita semasa lawatan ke Kampung Padang Jawa yang turut terjejas akibat banjir.

Hujan lebat dilaporkan bermula sejak jam dua pagi, menyebabkan banjir kilat berlaku di Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS