Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming semalam, dengan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan jentera kerajaan.
Kecaman itu susulan pengumuman Nga berkenaan peruntukan sebanyak RM6,130,719 untuk 33 projek pembangunan dan infrastruktur di kawasan Tapah, yang turut merangkumi DUN Ayer Kuning, di tengah PRK yang akan bermula esok.
Menurut Bersih, tindakan Nga menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk menyalurkan projek dan dana di kawasan yang sedang berdepan PRK adalah penggunaan sumber kerajaan yang tidak adil.
“Walaupun pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur merupakan keperluan yang sah, pengumuman berskala besar ini dilakukan dalam konteks kempen pilihan raya dan memberi kelebihan tidak adil kepada parti kerajaan.
“Pengumuman peruntukan ketika tempoh kempen pilihan raya bukan sahaja memberi persepsi pembelian undi secara terselindung, malah mencemarkan prinsip demokrasi yang sepatutnya menjamin persaingan politik yang adil dan bersih.
“Rakyat berhak membuat pilihan berdasarkan dasar, integriti dan rekod perkhidmatan, bukan berdasarkan janji projek dan peruntukan yang secara tiba-tiba turun menjelang tempoh pilihan raya,” kata Bersih dalam kenyataan hari ini.
Bersih turut membangkitkan garis panduan “3C” yang dikeluarkannya pada 2023 untuk pilihan raya negeri di Kedah, Penang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
Garis panduan itu menetapkan bahawa tiada syarat, tiada kempen, dan tiada penglibatan calon dalam sebarang acara rasmi kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan politik.
“Apa yang diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Tapah melanggar semangat dan tujuan garis panduan tersebut,” katanya.
Kata Bersih lagi, pengumuman seumpama itu bukanlah kes terpencil, walaupun pemimpin kerajaan semasa mengecamnya semasa mereka menjadi pembangkang.
‘Politik baru akan kekal retorik’
Malah, Bersih berkata pihaknya mendapati ada pelanggaran etika yang berterusan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, khususnya melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“PRK Ayer Kuning akan menjadi ujian penting terhadap komitmen kerajaan hari ini kepada reformasi politik dan integriti pilihan raya.
“Sekiranya budaya patronage terus dibiarkan, cita-cita membina politik baru yang bersih dan matang akan kekal menjadi retorik semata-mata,” katanya lagi.
Menurut Bernama, pengumuman Nga semalam meliputi pelbagai projek seperti naik taraf tandas awam, medan selera, jalan raya dan dewan awam, serta pemasangan lampu LED di beberapa lokasi.
Ia turut melibatkan pembaikan rumah awam, naik taraf Taman Malaysia Tapah serta kerja pemulihan Dewan Muhibbah Bidor.
Esok merupakan hari penamaan calon untuk PRK Ayer Kuning, manakala hari mengundi ditetapkan pada 26 April.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.
BN mencalonkan Setiausaha Umno Tapah Yusri Bakir, manakala PN mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Tapah Abdul Muhaimin Malek.
Seorang lagi calon adalah Bawani KS daripada PSM.