Pemberi maklumat yang membuat pendedahan berhubung skandal rasuah Sabah meminta polis memaklumkan perkembangan siasatan berhubung laporan yang dibuatnya, yang mendakwa menantu Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman membuat laporan polis palsu.
Dalam sepucuk surat daripada peguam pemberi maklumat itu kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Serdang Nazaruddin Abd Razak, Mahajoth Singh membangkitkan yang sudah dua bulan berlalu sejak anak guamnya membuat laporan.
“Kendatipun lebih daripada dua bulan telah berlalu dari tarikh laporan polis tersebut, namun sehingga kini rakaman percakapan/keterangan anak guam kami tidak diambil apatah lagi anak guam kami langsung tidak mendapat sebarang maklum balas mengenai status penyiasatan terkini,” katanya dalam surat bertarikh hari ini yang dilihat Malaysiakini.
Mahajoth meminta pihak polis memberikan kemas kini mengenai kes itu serta jaminan yang siasatan akan “diteruskan dan diselesaikan dengan telus dan lancar”.
“Anak guam kami bersedia memberi kerjasama yang sepenuhnya dengan mengemukakan bukti-bukti relevan dan penting berserta barisan saksi yang boleh dipercayai yang secara jelasnya menjurus kepada penubuhan kes yang kukuh terhadap Arifin Arif,” katanya lagi.
“Arifin (gambar utama) ialah Adun Membakut dan menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman.
Selain kepada Nazaruddin, salinan surat itu turut dihantar kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, Ketua JSJ Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, dan pegawai penyiasat kes yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pemberi maklumat berkenaan, yang merupakan bekas ahli perniagaan, mendakwa Arifin telah menawarkan penyelesaian untuk menutup mulutnya.
Arifin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan membuat laporan polis pada 5 Februari dan menyifatkannya sebagai “tidak tepat, mengelirukan, mengandungi fakta yang salah dan berunsur fitnah”.
Sehari kemudian, pemberi maklumat tersebut membuat laporan polis terhadap Arifin, mendakwa Arifin membuat laporan palsu dan oleh itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Bandar Puteri, Serdang.
Menurut surat yang dihantar Mahajoth, pemberi maklumat tersebut telah pergi ke IPD Serdang pada hari yang sama dengan tujuan untuk memberikan kenyataan.
“Namun demikian, pengawai penyiasat kes tersebut sekadar bersembang dengan anak guam kami dan tidak merekodkan sebarang keterangan/rakaman percakapan,” katanya lagi.
