Adun Elopura Calvin Chong mengecam Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor kerana gagal mengambil tindakan terhadap sembilan Adun daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terpalit dalam skandal rasuah lesen mineral.
Chong berkata SPRM kini sedang menunggu keputusan analisis forensik ke atas 10 video yang dirakam pemberi maklumat, yang mengakui menawarkan suapan untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan lesennya.
“Rakyat Sabah percaya dalam masa terdekat SPRM akan mengumumkan hasil siasatan serta tindakan susulan terhadap mereka yang terlibat.
“Hajiji selaku Ketua Menteri kelihatan agak cacat dalam menangani krisis rasuah ini, dia langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap sembilan Adun yang terlibat dengan mengakui menerima rasuah sebanyak beratus ribu ringgit,” kata Chong dalam kenyataan.
Hajiji turut dikaitkan dalam skandal itu.

Menurut Chong, sudah enam bulan berlalu sejak pendedahan skandal itu namun Hajiji tidak membangkitkan usaha untuk menambah baik tata kelola mahupun menegakkan tadbir urus dalam pengurusan lesen penerokaan mineral Sabah.
“Hajiji hanya berpura-pura bodoh untuk cuba elak menjawab sebarang persoalan berhubung skandal rasuah yang berlaku.
“Adakah kualitinya sesuai untuk menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri? Tindakannya terbukti telah gagal menjalankan amanah sebagai Ketua Menteri, rakyat Sabah amat kecewa terhadap kegagalannya,” kata Chong lagi.
Menjelang sidang DUN Sabah yang akan datang, Chong turut membangkitkan Yang Di-Pertua DUN Kadzim Yahya juga terpalit dengan skandal itu.
“Persoalannya adalah Yang di-Pertua DUN Kadzim Yahya turut didedahkan terlibat dalam kegiatan rasuah tersebut.
“Adakah dia berani membenarkan pembahasan isu yang membebankan dirinya di dewan?” soalnya.
Pada Mac lalu, Kadzim menegaskan dia hanya meminjam RM50,000 dan tidak tahu-menahu berkenaan dakwaan RM350,000 yang dirujuk dalam video yang disiarkan Malaysiakini.
Dalam video itu, pemberi maklumat memperincikan dakwaan RM350,000 yang diberikan kepada Kadzim, dengan menyebut lokasi dan jumlah yang terlibat dalam transaksi tersebut.