Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak anggap pemantauan TCO Anwar sama dengan Samsuri
Diterbitkan:  Apr 11, 2025 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat berpendapat pemantauan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, melalui Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) bukan perkara biasa.

Pengarahnya, Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata walaupun diakui semua orang kenamaan berada dalam senarai pemantauan TCO, apa yang dilakukan ke atas Ahmad Samsuri berbeza daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Mengulas kenyataan Anwar sebelumnya yang menegaskan dia turut berada dalam pemantauan TCO, Nurul Islam berkata, prosedur yang dilalui kedua-dua mereka adalah tidak sama.

“Biasalah semua orang kenamaan ada dalam senarai. Soalan kepada perdana menteri: semasa lalu di kaunter imigresen, perdana menteri ada kena tahan, disuruh ketepi, kemudian pegawai imigresen hubungi pejabat TCO untuk dapat clearance (kelulusan). Ada tak?

“Kalau tak ada, maksudnya tak sama,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS semalam mendakwa dia dikenakan pemantaua TCO sehingga panggilan telefonnya diawasi.

Katanya langkah berkenaan menjadikan dia seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata (tidak dikehendaki) di tanah air sendiri.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menjelaskan tiada keperluan untuk kerajaan mengintip pergerakan Ahmad Samsuri kerana pemimpin PAS itu sentiasa didampingi polis.

Mengulas lanjut, Nurul Islam membangkitkan persoalan mengapa layanan berbeza dikenakan kepada Ahmad Samsuri berbanding orang kenamaan lain, manakala penjelasan diberi Saifuddin pula tidak meyakinkan.

“Menteri Dalam Negeri (Saifuddin) gagal beri jawapan yang boleh diterima rakyat.

“Ingat, dia (Ahmad Samsuri) ialah seorang Adun, ahli parlimen dan ketua sebuah kerajaan negeri, bukan penjenayah atau pesalah yang wajar dikawal pergerakan.

“Boleh wartawan tanyakan PMX? Terima kasih,” katanya secara sinis.

Turut mengiringi hantaran Nurul Islam itu ialah keratan berita disiarkan Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS