Secara peribadi saya menghormati mana-mana mufti di Malaysia ini walaupun mungkin ada pandangan atau nasihat mereka yang kadang-kala tidak kena dengan pemikiran serta realiti isu-isu semasa. Namun kita tetap hormat atas dasar ilmu agama para mufti itu serta autoriti agama yang menjadi sebahagian dari sistem tradisi tadbir-urus pemerintah di negara kita ini.
Namun ia tidaklah bermakna para mufti itu tadi sentiasa benar atau maksum dari melakukan kekhilafan ketika memberikan pendapat, terutama apabila menyentuh situasi atau bidang yang bukan merupakan kepakarannya. Sebagai contoh, tentang realiti penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap pencerobohan peniaga haram tidak berlesen di ibu kota.
Saya ada menonton satu video yang disunting dari ceramah seorang mufti tersebut baru-baru ini. Mufti itu ditanyakan mengenai kes Abang Belon lawan penguat kuasa DBKL, adakah beliau menyokong peniaga tidak berlesen? Respon awal mufti itu menyebut istilah "mangkaq" dalam bahasa utara, yang mempunyai banyak maksud antaranya "bangang".
Mufti tersebut meneruskan responnya dengan menyebut "sebahagian orang lupa diri dia, ketika dia dulu pembangkang macam mana".
Saya rasa aneh apa kaitan politik dengan kes tersebut? Adakah tuan mufti melihat kes itu dari perspektif pembangkang lawan kerajaan? Adakah Abang Belon itu yang mempunyai 13 rekod lampau jenayah membabitkan dadah itu merupakan wakil pembangkang?
BACA: Abang Belon: Sebab ada kes lampau, saya tak boleh cari rezeki?
Mufti itu sebut lagi "padan ka satu orang macam tu, anta ramai-ramai pi lompat naik ataih dia?".
Ini pun suatu kesimpulan yang kurang cermat dari tuan mufti. Ia boleh menimbulkan fitnah terhadap pihak penguat kuasa DBKL itu. Adakah tuan mufti menonton video kejadian itu dengan teliti? Pasukan penguat kuasa yang ramai itu hanya mengerumuni Abang Belon itu yang sedang bergelut dan menerkam seorang anggota Jabatan Penguatkuasaan (JPK). Boleh rujuk tangkap layar rakaman video kejadian itu.
Tindakan Abang Belon yang agresif tersebut menyebabkan seorang anggota DBKL berpakaian preman yang dikenali sebagai Sarjan Anuar bertindak cuba menarik dan memisahkan Abang Belon itu yang telah berada di atas tubuh anggota JPK. Cuma teknik Sarjan Anuar itu yang dipersoalkan kerana kelihatan dia menarik Abang Belon itu menggunakan kaedah "kunci leher" yang kontroversi.
Dalam rakaman video kejadian, jelas sekali tiada aksi Abang Belon itu dihenyak, dibelasah atau dipukul beramai-ramai oleh pasukan penguatkuasa DBKL seperti yang ditularkan di media sosial. Hanya tiga orang sahaja yang terlibat, Abang Belon itu, Sarjan Anuar dan seorang anggota JPK yang diterkam hingga jatuh. Harap tuan mufti boleh baca kenyataan rasmi DBKL dan laporan polis yang sudah dibuat.
Kes ini masih dalam siasatan polis. Laporan penuh perubatan dari Hospital Serdang masih dalam proses dan akan diteliti oleh pihak polis sebelum kes ini dibawa kepada mahkamah untuk dibicarakan. Biar hakim yang tentukan berdasarkan bukti. Adakah teknik yang digunakan Sarjan Anuar itu menyebabkan kecederaan leher atau tulang belakang Abang Belon itu? Atau sebenarnya terdapat kecederaan lama T12 compression fracture?
Lagi satu, tuan mufti kata "zaman moden you ambik gambaq dia, you pi kutip dia kat rumah dia".
Itu pun bukan SOP penguatkuasa DBKL ketika turun "menguatkuasakan" kawasan dari dicerobohi peniaga haram tidak berlesen. Apakah penguatkuasa sekadar turun ambil gambar saja dan membiarkan peniaga haram itu curi rezeki peniaga yang berlesen? Soal kutip di rumah itu biasanya jika ada arahan mahkamah atau kerja pihak polis jika berlaku jenayah.
Kesimpulan saya, tuan mufti yang disayangi kerana kelantangan dan hujah yang jelas selama ini, sekali-sekala perlu juga bermuhasabah dan bertabayyun agar tidak terikut emosi serta sentimen yang ditularkan di media-media sosial, apatah lagi jika cuba dinisbahkan dengan politik (pembangkang lawan kerajaan) yang biasanya boleh mendatangkan fitnah kepada agamawan itu sendiri.
Kami para penyokong kerajaan bukan musuh tuan mufti. Kami cuma minta tuan mufti berlaku adil dalam isu ini saja.
MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN adalah anggota PKR yang memperkenalkan dirinya sebagai Rakan Nasionalis Moderat Anda.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
