ADS
mk-logo
Berita
Umno syak Samsuri cari simpati menjelang PRK Ayer Kuning

Umno berpendapat ada kemungkinan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, membuat dakwaan diawasi secara rahsia dan telefonnya dipintas semata-mata kerana kedatangan Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenyataan sebenar sudah dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pagi tadi.

"Menteri Dalam Negeri sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa tidak ada (pintasan telefon, pengawasan), jadi kenapa perkara ini perlu (timbul)?

"Mungkin dia (Ahmad Samsuri) nak memohon simpati sebab (PRK) Ayer Kuning," katanya ringkas ketika ditanya selepas majlis pelancaran Akademi Rel Pahang di Kuantan, Pahang, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail.

ADS

Semalam, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mendakwa dia dikenakan TCO justeru talian telefon miliknya kemungkinan besar dipintas oleh pihak berkuasa.

Keadaan itu, dakwanya, menjadikan dia seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata di tanah air sendiri.

“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100 peratus.

“Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi? Sudah tentu. Tanpa ada keraguan,” dakwanya.

Menurut Ahmad Samsuri, keadaan itu merumitkan proses keluar masuknya melalui sempadan negara, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun lalu.

TCO, tambahnya, adalah satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.

Tegas Ahmad Samsuri dia kecewa dengan situasi yang dihadapi dan mendakwa ia usaha untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan bagi mengawal dan menekan suara tertentu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS