Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imbas gelaran ‘pendatang’, PM Singapura ajar cara layan kumpulan minoriti
Diterbitkan:  Apr 11, 2025 1:13 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyelar bekas calon anggota parlimen republik itu Calvin Cheng yang mahu menaja akvitis pro-Palestin pergi ke Gaza selama-lamanya.

Perkara itu diteruskan selepas bertemu dua tokoh pendidik agama Islam di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, republik itu semasa lawatannya semalam.

“Saya berkongsi pandangan saya bahawa kenyataan Calvin Cheng mengenai menyuruh warga Singapura lain ‘pergi ke Gaza’ adalah amat tidak sensitif dan tidak boleh diterima,” katanya.

Cheng dilaporkan menulis di Facebook pada 13 Mac lalu yang menyasarkan kumpulan aktivis pro-Palestin, Monday of Palestine Solidarity. 

“Saya ingin menaja mereka untuk berpindah ke Gaza, semua perbelanjaan ditanggung oleh saya. Tetapi dengan syarat jangan pulang. 

“Saya tawarkan penerbangan kelas perniagaan kepada pemimpin mereka. Dan kepada 928 pengikut, boleh belikan kasut untuk setiap seorang. Jalan perlahan-lahan.”

Menulis di Facebook, Wong turut mengimbas sejarah Singapura ketika golongan minoriti dilayan dengan cara yang tidak wajar.

“Ketika kita masih bersama Malaysia, ada segelintir masyarakat Malaysia panggil orang Cina tempatan sebagai pendatang.

“Ia menimbulkan kemarahan ramai orang Cina yang merasakan mereka dilayan seperti warganegara kelas kedua.

“Jadi apabila Singapura merdeka, kami bertekad untuk tidak melayan mana-mana kaum minoriti dengan cara begitu,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata keharmonian kaum dan agama di Singapura hari ini adalah hasil usaha berterusan pelbagai generasi dan harus terus dipelihara.

“Saya berterima kasih kepada Ustaz Hasbi dan Ustaz Pasuni atas peranan mereka dalam memupuk keharmonian antara agama.

“Bersama-sama, mari kita bina atas asas yang telah kita ada, dan pastikan titik merah kecil kita kekal sebagai sebuah oasis kestabilan dan keharmonian,” katanya.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS