Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru seluruh ahli PKR untuk menjunjung nilai etika dan semangat kekeluargaan dalam memilih barisan kepimpinan baru pada pemilihan parti bulan depan.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata proses pemilihan parti itu harus berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan penuh etika serta menjauhi budaya memecahbelahkan.
“Seperti yang sering saya tegaskan – Keadilan (PKR) –bukan sekadar parti politik, sebaliknya wadah perjuangan rakyat. Maka pilihlah kepimpinan yang berintegriti, amanah dan benar-benar membawa suara rakyat terbanyak.
“Insya-Allah, usaha dan ikhtiar kita akan dipermudahkan demi Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu pada masa sama turut mengucapkan selamat mengundi dan selamat maju jaya kepada semua calon serta ahli PKR dalam pemilihan parti kali ini.
PKR memutuskan bahawa pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Pusat berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat cabang pula ditetapkan mulai hari ini hingga 20 April.
- Bernama