Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah gesa pendidikan seks di sekolah tangani zina, hamil luar nikah
Diterbitkan:  Apr 11, 2025 12:36 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) berpandangan pendidikan seks dan moral wajar diperkenalkan seawal peringkat sekolah rendah sebagai langkah menangani gejala zina dan kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja serta kanak-kanak.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, isu keruntuhan moral di kalangan pelajar, remaja dan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan, termasuk kes buli, penyalahgunaan dadah dan jenayah seksual.

Dia merujuk kes terbaru di Kelantan melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang hamil hasil hubungan seks dengan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

“Bukan setakat itu sahaja, malahan lebih banyak kes jenayah melibatkan golongan ini termasuk dadah di mana kes jenayah-jenayah ini sama ada jenayah umum atau seks berlaku di semua negeri termasuk di Kelantan.

“Menelusuri kes hamil remaja Kelantan tersebut, seksyen 113 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan satu anggapan bahawa tiada kesalahan jenayah rogol bagi kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah.

“Memandangkan remaja wanita tersebut berumur 15 tahun, maka seksyen 376 Kanun Keseksaan meletakkan ia satu kesalahan rogol (statutory rape). Namun, oleh kerana pelaku berumur 11 tahun, maka pendakwaan tidak boleh diasaskan, jika diteruskan juga, maka kanak-kanak tersebut boleh dibebaskan atas pembelaan statut ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Muhamad Yusoff Mamat, dilaporkan berkata kes tersebut berlaku di Kelantan minggu lalu, melibatkan sepupu sendiri atas dasar hubungan cinta bawah umur.

Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan, manakala remaja perempuan terbabit diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Yusoff, sebanyak 252 kes sumbang mahram direkodkan di Kelantan bagi tahun 2024, meningkat berbanding 206 kes pada 2023.

Pendidikan seks menyeluruh

Semalam Malaysiakini melaporkan Naib Ketua Wanita PKR S Wasanthee berkata pendidikan seksual komprehensif di peringkat sekolah boleh menjadi pemangkin kepada usaha mengekang masalah sosial termasuk isu kehamilan kanak-kanak.

Adun Hutan Melintang itu percaya Malaysia perlu merangka kurikulum pendidikan seksual yang menyeluruh dan tidak sekadar memberi pengetahuan mengenai hubungan seksual, bahkan merangkumi aspek penjagaan diri, pembentukan sahsiah, serta nilai agama dan moral.

Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan peningkatan kes jenayah seksual di negeri seperti Kelantan — yang sering dikaitkan dengan penerapan kehidupan beragama — sepatutnya membuka mata banyak pihak.

Tegasnya, kerajaan Kelantan tidak boleh mendabik dada mengatakan pelaksanaan Islam sudah cukup sedangkan masalah moral dan jenayah semakin berleluasa.

“Ini bermakna, silibus pendidikan di institusi formal atau tidak formal di Kelantan tidak lengkap. Undang-undang bukan solusi lengkap mengekang masalah moral dan jenayah di kalangan pelajar sekolah termasuk jenayah seks.

“Justeru, kita terutama orang Melayu perlu berfikiran terbuka untuk menerima cadangan keperluan pendidikan seks di peringkat sekolah rendah lagi.

“Pendidikan moral perlu ditambahbaik termasuk memasukkan silibus seks bagi memberikan ilmu dan pendedahan awal tentang hukum agama, undang-undang dan kesan kehidupan akibat perbuatan jenayah termasuk seks.

“Sudah pasti akan ada kumpulan yang akan mengkritik dan menentang cadangan ini atas nama agama, tetapi hamil luar nikah juga bertentangan dengan agama dan menambah masalah sosial kepada orang Melayu. Justeru, hamil luar nikah perlu dikekang segera,” katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya masyarakat Malaysia berfikiran lebih terbuka dan menolak pemikiran sempit kononnya pendidikan seks merupakan agenda golongan liberal.

Kata Faiz lagi, orang ramai harus berfikiran sederhana dalam semua hal dan menjadikan ilmu fiqh mizan (idea Profesor Ali Muhyiddin al-Qarah Daghi) sebagai sandaran penghakiman.

“Antara dosa perlakuan seks dan hamil luar nikah, yang manakah mudarat lebih besar? Sedangkan maqasid syariah itu untuk memelihara keturunan. Kita tidak boleh lagi membiarkan pemikiran kita dikuasai emosi dan ketakutan untuk islah, sedangkan pemahaman kita kepada agama tidak sempurna.

“Golongan agamawan (ulama) sememangnya ahli kepada ilmu ini, tetapi penentuan kehidupan rakyat terletak kepada pemerintah (umara’). Oleh itu, pendidikan seks menjadi keperluan untuk dilaksanakan kerajaan bagi membentuk satu tindakan komprehensif mewujudkan masyarakat madani yang bermoral dan sejahtera,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS