Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, membidas pihak tertentu yang mempertikaikan penglibatannya dalam syarikat meskipun memegang jawatan sebagai Anggota Dewan Rakyat.
Menurut Armizan, ia bukanlah perkara baru kerana ramai Ahli Parlimen, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, pernah memegang jawatan dalam syarikat atau memiliki perniagaan semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Dia juga menegaskan perkara itu tidak melanggar undang-undang seperti yang didakwa oleh pengkritiknya.
"Apa yang boleh saya katakan ialah setiap tindakanyang kita buat, saya buat semua mengambil kira segala kerangka perundangan yang ada.
"alau disebut tentang apa kedudukan terlucut itu, ramai ahli parlimen di luar sana daripada dulu, bukan sekadar pegang jawatan dalam GLC, malah ada yang memiliki syarikat sendiri," katanya dalam satu temubual bersama Malaysiakini.
Armizan sebelum ini dikritik hebat selepas didedahkan pernah memegang jawatan sebagai pengarah di Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen dan dilantik sebagai menteri kabinet.
Minggu lalu, seorang pemimpin pembangkang turut mendakwa Armizan masih memegang jawatan sebagai pengarah di sebuah lagi syarikat swasta, Common Tower Technology Sdn Bhd.
Ketua Pemuda Sabah Bersatu, Hisyam Hazaril Azman, berkata Armizan sepatutnya hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat kerana didakwa melanggar Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang Ahli Parlimen daripada memegang jawatan berpendapatan.
Sebagai respons, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meminta pengkritiknya memahami dengan betul peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Armizan berkata, Perlembagaan menetapkan dengan jelas maksud "jawatan berpendapatan" di bawah Perkara 160. Justeru dia menggesa pemimpin pembangkang berkenaan membaca peruntukan tersebut.
Menurut Perkara 160, "jawatan berpendapatan" ditakrifkan sebagai "mana-mana jawatan sepenuh masa dalam mana-mana perkhidmatan awam," termasuk menjadi hakim atau anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, antara lain.
'Biar pihak berkuasa siasat'
Minggu lalu, Hisyam dalam satu kenyataan mempersoalkan kedudukan Armizan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas semakan mendapati dia masih memegang jawatan pengarah di Common Tower Technology.
Dia turut membangkitkan kod etika kerajaan untuk anggota pentadbiran persekutuan yang melarang menteri kabinet daripada terlibat dalam perniagaan.
Bagi mengelakkan konflik kepentingan, kod etika itu mewajibkan mana-mana menteri yang memegang jawatan pengarah atau pengerusi dalam mana-mana perniagaan atau koperasi untuk meletakkan jawatan.
Namun, ketika ditanya mengenai perkara ini, Armizan berkata dia lebih selesa menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa memandangkan siasatan masih dijalankan.
"Memandangkan sudah ada laporan polis dibuat, jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa," katanya, merujuk kepada laporan yang dibuat oleh sebuah NGO di Sabah dua minggu lalu.
'Tiada cubaan sembunyi mesyuarat'
Sementara itu, dalam temubual sama, Armizan turut mengulas isu gambar pertemuannya bersama sebuah syarikat perlombongan dari Indonesia pada tahun 2023.
Setiausaha Agung Bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, tidak berbangkit isu dia cuba menyembunyikan pertemuan tersebut kerana dia hadir bersama pihak pengurusan SMM.
"Tak ada sembunyi-sembunyi. Saya pergi bersama pengurusan (SMM), bukan saya pergi sendiri. Satu pasukan turut pergi.
"Saya pun tidak tahu kenapa dia cakap sembunyi-sembunyi. Kalau pergi sembunyi-sembunyi, saya tak buat dengan pihak pengurusan.
"Bila saya pergi tu, saya tinggalkan mesyuarat di pertengahan. Bila saya dah buat pembukaan, saya biarkan kepada pengurusan untuk berbincang lanjut. Dan pihak pengurusan yang balik buat penilaian mereka kepada lembaga pengarah (SMM)," katanya.
Menurut Armizan, syarikat milik kerajaan negeri itu berminat untuk berbincang dengan Bayan Resources kerana ia merupakan syarikat perlombongan mineral yang sah dan mempunyai rekod prestasi yang terbukti.
Katanya, konglomerat perlombongan dari Indonesia itu adalah antara syarikat yang membekalkan arang batu kepada TNB.