Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PRK Ayer Kuning: Hormat calon lawan, jangan serang peribadi - Veteran Umno
Diterbitkan:  Apr 11, 2025 9:44 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Veteran Umno Malaysia menyeru jentera Veteran Umno Bahagian Tapah supaya menghormati calon lawan dan tidak melakukan serangan peribadi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.

Setiausahanya, Mustapha Yaakub meminta mereka supaya berkempen secara 'berhemah, bertamadun dan kasih sayang'.

"Jangan terikut-ikut dengan taktik parti lawan yang menyerang secara melulu dengan penuh kebencian. Hormati calon lawan dan jangan menyerang peribadi sehingga boleh memalukannya.

"Kita tahu produk kita baik. Maka kita juallah produk kita. Kita tidak perlu mengatakan produk orang tidak baik. Apa lagi memperlekehkan produk orang," katanya dalam kenyataan.

Mustapha juga meminta Veteran Umno menumpukan kempen kepada 3,000 ahli veteran dalam Dun Ayer Kuning melalui strategi kempen Keluarga Ku Pengundi BN.

"Setiap ahli veteran Ayer Kuning akan menjadi JR (Jentera Jalinan Rakyat) kepada keluarga masing-masing dengan perkiraan 1+1+1+1. (1 ahli + 1 isteri/suami + 1 anak + 1 menantu).

"Sekiranya strategi ini berjalan baik maka veteran akan dapat menyumbang paling kurang 6,000 undi kepada BN. Jumlah ini besar berbanding jumlah undi yang diperolehi BN dalam PRU 16 sebanyak 9,000 undi,” jelasnya.

PRK DUN Ayer Kuning yang terletak dalam kawasan Parlimen Tapah diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Feb lalu.

Allahyarham Ishsam juga merupakan Ketua Umno Bahagian Tapah.

BN menamakan Setiausaha Umno Bahagian Tapah, Yusri Bakir, 54, sebagai calon manakala PN meletakkan Yang Dipertua PAS Tapah, Abd Muhaimin Malek untuk bertanding di kerusi itu.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut akan bertanding di kerusi tersebut dengan menampilkan Timbalan Setiausaha Agungnya, KS Bawani sebagai calon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS