DAP mengumumkan berjaya mengumpul hampir RM1 juta untuk mangsa kebakaran saluran paip gas Putra Heights daripada kempen yang dilancarkan parti itu baru-baru ini.
Lidah rasmi parti itu, The Rocket berkata setakat 6.35 petang, ia berjaya mengumpul RM965,539.44 untuk tabung bantuan kecemasan dan tidak lagi menerima sumbangan selanjutnya.
Butiran termasuk pengagihan dana akan diumumkan kemudian.
“Walaupun kempen mengumpul dana telah berakhir, perjalanan untuk pemulihan diteruskan.
"Mari kita berganding bahu dan menyokong keluarga yang terjejas dengan empati dan tindakan serta menemani mereka keluar dari kesusahan mereka," katanya dalam catatan Facebook.
Sebelum ini, DAP dikritik kerana menubuhkan dana untuk membantu mangsa kebakaran 1 April itu, dan bukannya menghulurkan bantuan kerajaan sebagai sebahagian daripada gabungan pemerintah.
Setiausaha agungnya Anthony Loke mempertahankan langkah berkenaan dan mengecam pengkritik.
Loke kemudiannya mengakui semasa wawancara Malaysiakini bahawa dia “sedikit emosi dan marah” dalam kenyataannya dan berkata ia ditujukan kepada individu yang mempolitikkan usaha bantuan parti itu.
“Kami sedang turun padang membantu orang ramai, tetapi masih ada yang menggunakan ini (mengambil kesempatan) untuk menyerang kami.
“Kami tahu ada pihak tertentu yang cuba menghasut sentimen awam, jadi saya katakan, ‘Kalau tak nak bantu, diam sajalah,’” katanya.
Dia juga mendedahkan bahawa Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin yang mencetuskan idea untuk menubuhkan tabung bantuan itu.
Dia juga menegaskan bahawa semua sumbangan adalah diaudit dan telus.
Loke mengulangi bahawa walaupun kerajaan dan Petronas telah menyediakan bantuan, DAP, sebagai sebuah parti politik, juga boleh menggerakkan kuasa sosial untuk bantuan bencana.