ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam mahu tampil dalam semakan akta pelantikan hakim
Diterbitkan:  Apr 10, 2025 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Badan Peguam Malaysia hari ini menyatakan hasrat untuk tampil dalam cabaran undang-undang terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2009.

Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata jawatankuasa undang-undang sivil dan pembaharuan undang-undang badan profesional itu sedang menyediakan cadangan pindaan akta berkenaan sebagai sebahagian daripada penglibatannya dengan kerajaan.

Dia merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam yang mengatakan usaha kerajaan untuk memperbaharui proses pelantikan kehakiman akan diteruskan.

“Kami mengambil maklum tentang jaminan tegas perdana menteri bahawa tidak akan ada campur tangan dalam proses kehakiman.

"Jaminan ini penting dalam memelihara keyakinan orang ramai terhadap pengasingan kuasa dan integriti sistem perundangan," kata Ezri dalam satu kenyataan.

ADS

Semalam, Anwar berkata kerajaan bercadang untuk melakukan kajian semula menyeluruh terhadap rangka kerja SPK.

Kenyataan perdana menteri itu hadir selepas peguam Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim memfailkan semakan kehakiman dengan alasan bahawa Akta JAC adalah bercanggah dengan berperlembagaan.

Mengulas lanjut, Ezri berkata cabaran undang-undang Syed Amir adalah demonstrasi hak setiap warganegara Malaysia untuk mendapatkan keputusan mahkamah berhubung isu perlembagaan.

"Hak ini membentuk asas fabrik demokrasi kita dan berdiri sebagai penjelmaan kedaulatan undang-undang - prinsip yang mesti dilindungi dengan tegas dan dipupuk dengan teliti," katanya.

Tambahnya, cabaran undang-undang itu tidak seharusnya disensasikan, sebaliknya disambut dengan wacana berprinsip.

“Majlis Peguam Malaysia mengesahkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, menjaga kebebasan badan kehakiman, dan menyokong pembaharuan yang meningkatkan kredibiliti dan daya tahan institusi perundangan kita.

"Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap peranan penting badan kehakiman sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan dan penimbang tara terakhir dalam hal tafsiran perlembagaan," katanya.

Syed Amir memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kuasa yang diberikan kepada SPK bertentangan dengan perlembagaan, khususnya Perkara 122B, yang menggariskan proses untuk melantik hakim ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Dia dilaporkan berhujah bahawa Akta SPK mengganggu proses perlembagaan dan kebebasan kehakiman dengan membenarkan perdana menteri dan pegawai kerajaan mempengaruhi pelantikan kehakiman, yang bertentangan dengan piawaian antarabangsa bagi badan kehakiman bebas.

Dia juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa perdana menteri dan kerajaan mengikuti proses pelantikan kehakiman yang betul tanpa campur tangan daripada SPK.

Sementara menunggu penyelesaian kes, dia menggesa mahkamah membenarkan penangguhan sementara bagi semua pelantikan kehakiman yang dibuat di bawah Akta SPK 2009 sehingga mahkamah menyelesaikan sepenuhnya isu itu.

Cabaran itu hadir ketika Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dijadualkan bersara pada Jun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS