Parti Bersatu Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata mereka akan membawa isu pemindahan kuil Hindu di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai salah satu cara mereka melawan kempen parti kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim di Ayer Kuning.
Presiden Penaja Urimai, P Ramasamy, berkata dalam pilihan raya kecil (PRK) itu nanti mereka akan memberikan dukungan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dijangka berdepan laluan sukar untuk menghadapi PN dan BN.
Menegaskan Urimai yang belum didaftarkan sebagai parti politik secara rasmi, Ramasamy berkata pihaknya berazam untuk mengetengahkan isu "diskriminasi dan peminggiran sistematik" oleh kerajaan semasa berkempen untuk PRK Ayer Kuning.
“Urimai sekali lagi dinafikan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
"Langkah tidak demokratik ini telah menghalang Urimai daripada bertanding dalam pilihan raya. Namun, ketiadaan kami di atas kertas tidak akan menghalang kehadiran kami di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.
PRK Ayer Kuning - yang berada dalam kawasan Parlimen Tapah di Perak - akan diadakan pada 26 April ini ekoran kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 23 Feb lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya juga menetapkan 12 April ini sebagai hari penamaan calon.
PSM sudah menamakan timbalan setiausaha agung parti itu, Bawani KS, sebagai calon, manakala Mohamad Yusri Bakir dan Abd Muhaimin Malek masing-masing mewakili BN dan PN.
Untuk rekod dalam PRU ke-15 lalu Bawani turut bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning namun hanya mendapat 586 undi berbanding Allahyarham Ishsam selaku pemenang (9,088 undi).
Ishsam dibezakan 2,213 undi berbanding pencabar terdekatnya, Mohd Nazri Hashim dari PH.
Realiti politik sedang berubah
Kata Ramasamy walaupun berdepan halangan, Urimai akan tetap aktif berkempen untuk mengajak pengundi khususnya masyarakat India untuk menolak calon BN dan kerajaan perpaduan.
"Jaringan penyokong kami yang berdedikasi akan turun padang dan berkempen secara agresif, mendedahkan kegagalan kerajaan semasa. Masyarakat India berhak mendapat layanan yang lebih baik," tambahnya.
Selain berkaitan kuil, Ramasamy berkata, Urimai akan menonjolkan isu kerajaan yang didakwanya "enggan" melantik mana-mana individu India sebagai menteri penuh dalam kabinet, kekurangan wakil masyarakat India dalam sektor awam, serta "kekurangan peruntukan" untuk inisiatif pembangunan bagi memperkasakan komuniti terbabit.
“Menerusi video, kempen akar umbi dan ceramah - jika dijemput oleh pembangkang - Urimai akan mendedahkan kepincangan kerajaan sekarang dan peranan pemimpin India dalam DAP, PKR dan MIC yang bersekongkol dengan kerajaan," katanya.
Ramasamy juga mendakwa, Urimai berjaya mengurangkan peratusan masyarakat India keluar mengundi dalam beberapa PRK sebelum ini di sebalik kempen agresif dibuat oleh parti dalam kerajaan.
Apa yang berlaku itu, katanya, membuktikan masyarakat India jelas tidak berpuas hati terhadap kerajaan.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa, MIC mungkin berpendapat parti itu masih mempunyai pengaruh ke atas masyarakat India di Ayer Kuning namun menegaskan realiti politik sedang berubah.

"Dalam era kesedaran digital dan komunikasi yang pantas, rangkaian lama berasaskan naungan semakin runtuh.
"Generasi muda kini semakin sedar dan tidak lagi mahu bertolak ansur dengan permainan politik boneka yang hanya menjaga kepentingan golongan elit dan mengabaikan rakyat biasa," katanya.
Mengenai mesej Urimai kepada pengundi India di Ayer Kuning, Ramasamy berkata, pengundi India mesti menafikan sokongan mereka kepada Umno dan PH atas alasan parti terbabit gagal membela nasib mereka.
"Kedua, mereka mesti menggunakan kebebasan demokrasi dengan menyokong suara progresif PSM atau calon bebas yang benar-benar mewakili rakyat, sekali gus memutuskan sokongan kepada status quo yang gagal," katanya.
