Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN dijangka rombak struktur kepimpinan - Tuan Ibrahim

PN dijangka melaksanakan dengan rombakan struktur kepimpinannya selepas gabungan itu berserutuju menubuhkan jawatankuasa bagi menilai penambahbaikan organisasi.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata langkah menambah baik struktur parti berkenaan bakal dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita (PAS) ada cadangan beberapa penambahbaikan kepada PN secara keseluruhannya.

“Majlis tertinggi (PN) bersetuju tubuhkan jawatankuasa untuk menilai kembali," katanya kepada Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam.

Tuan Ibrahim yang juga anggota Majlis Tertinggi PN menegaskan, antara aspek yang diberi perhagian dalam penambahbaikan parti itu ialah pindaan perlembagaan, dan penubuhan majlis presiden.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada PAS sudah mengemukakan calon bagi menggantikan Ahmad Samsuri Mokhtar yang meletakkan jawatan Bendahari Agung PN sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata, PAS belum mengemukakan nama pengganti Ahmad Samsuri itu susulan cadangan untuk melaksanakan penambahbaikan tersebut.

Pada Jan lalu, Malaysiakini melaporkan PAS bersedia mengemukakan calon pengganti Ahmad Samsuri yang meletak jawatan itu kira-kira sebulan sebelum itu.

Lima wakil setiap parti

Untuk rekod Ahmad Samsuri membuat kejutan dengan melepaskan jawatan tersebut sehari selepas PN mengumumkan barisan kepimpinan utamanya yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, dilantik menjadi setiausaha agung.

Pelantikan Azmin itu sekali gus mengetepikan cadangan Pemuda PAS agar setiausaha agung mereka, Takiyuddin Hassan, dilantik ke jawatan tersebut yang dikosongkan Hamzah Zainudin.

Hamzah dipilih sebagai Timbalan Presiden PN merangkap Timbalan Presiden Bersatu.

Susulan peletakan jawatan tersebut Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sehingga hari ini tidak memberikan alasan lanjut berhubung tindakannya itu.

Sehari selepas pengumuman itu dibuat dia memberitahu, kenyataan rasmi akan dikeluarkan apabila tiba masa yang dianggap sesuai dan pimpinan sedang menguruskan perkara tersebut.

Ahmad Samsuri turut berkata orang ramai boleh membuat tafsiran mengenai keputusannya meletakkan jawatan itu dengan membaca petikan kata-kata legenda bola keranjang AS, Kareem Abdul-Jabbar.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Pada 12 Dis lalu, Ahmad Samsuri memuat naik hantaran di media sosial dengan memetik kata-kata Kareem: "Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah".

Ditanya sama ada akan berlaku perubahan dalam struktur kepimpinan PN, Tuan Ibrahim semalam memberikan gambaran ada cadangan dibuat ke arah itu.

“Jawatankuasa sudah setuju ditubuhkan dengan dianggotai lima orang wakil daripada setiap parti komponen.

“Saya fikir ada kemungkinan berlaku (perubahan pimpinan) sebab cadangan itu juga melibatkan pindaan perlembagaan PN,” katanya.

Bagaimanapun bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu tidak mengulas lanjut sejauh mana rombakan kepimpinan PN itu akan berlaku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS