ADS
Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya dicekik, disepak, dipulau' – kisah ngeri mangsa buli

Pengalaman dibuli sewaktu menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh masih meninggalkan parut emosi yang mendalam buat Mat Syah (bukan nama sebenar), meskipun insiden itu berlaku tujuh tahun lalu.

Kini berusia 23 tahun, Mat Syah mengimbas semula detik gelap ketika dia menjadi mangsa buli pelajar senior semasa berada di tingkatan dua.

Menurutnya kejadian buli berlaku bukan disebabkan salah laku, tetapi semata-mata kerana keinginan senior menunjukkan kuasa.

“Malam tu saya dicekik baju sampai tersembam ke dinding... ada senior sepak perut saya sampai senak.

Gambar hiasan.
ADS

"Mereka siap cakap, ‘jangan sentuh muka, nanti tinggal kesan’,” kata Mat Syah melalui wawancara bersama Malaysiakini.

Dia turut mendedahkan walaupun mengalami kecederaan fizikal dan dihantar ke hospital — pada awalnya kerana disyaki demam denggi — dia takut untuk membuat aduan.

Hanya selepas menjalani pemeriksaan di hospital itu dia berani memberitahu ibu bapanya tentang kejadian sebenar.

Lebih menyedihkan, selepas kejadian dilaporkan, Mat Syah bukan hanya disisih oleh rakan sebaya, malah diberi gelaran sinis “balaci asrama” oleh pelajar senior yang tersinggung kerana dikenakan tindakan disiplin.

ADS

“Mental saya memang jatuh teruk… saya cuma nak lindungi diri saya saja,” katanya.

Mat Syah berkata walaupun beberapa pelaku telah digantung atau dibuang asrama, dia pula yang terus dipulaukan selepas itu.

Bapa Mat Syah pada awalnya mahu membuat laporan polis namun menarik diri selepas bimbang masa depan pelaku terjejas, lalu menyerahkan kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan tata tertib.

Walaupun Mat Syah kini menuntut di sebuah universiti awam di Negeri Sembilan, trauma insiden itu kekal menghantui.

Buli di MRSM

“Sampai sekarang, kalau teringat balik, rasa macam (tertanya-tanya) mengapa saya yang jadi mangsa hanya sebab mereka nak tunjuk kuat di depan kawan-kawan,” luahnya.

Insiden seperti yang menimpa Mat Syah bukanlah kes terpencil.

Terkini, satu kes buli membabitkan pelajar MRSM di Pulau Pinang mencetuskan kemarahan ramai selepas video menunjukkan mangsa dikasari tular di media sosial.

ADS

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan mahu kesemua tujuh pelajar terlibat disingkirkan, termasuk lima pelajar yang disifatkan bersubahat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya polis menyiasat secara menyeluruh kes penderaan dan buli di sekolah asrama penuh itu.

Polis telah merekodkan keterangan lima daripada tujuh pelajar Tingkatan Tiga MRSM Nibong Tebal yang dipercayai terlibat dalam kes buli tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata keterangan semua pelajar berusia 15 tahun itu direkodkan semalam.

Dua lagi pelajar akan dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung kejadian buli di asrama pada pertengahan tahun lalu.

Kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS