Ahli Majlis Tertinggi Warisan Chen Ket Chuin berkata parti itu telah menghantar surat tuntutan kepada individu yang menuduh bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal menyokong permohonan kewarganegaraan oleh pendatang.
Chen berkata writ saman akan menyusul sekiranya individu terbabit enggan menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.
"Surat-surat tersebut telah dihantar pada 7 dan 8 April," kata Chen dalam kenyataan hari ini.
Pada Sabtu lalu, Ketua Pemuda Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA) Steve Johnny Mositun dilaporkan menggesa Shafie disiasat selepas dua surat yang dikatakan menyertakan arahan bertulis Shafie tersebar di internet.
Salah satu surat tersebut berkenaan bagi permohonan kad pengenalan pemastautin sementara (MyKas) bertarikh 26 April 2019.
Surat tersebut meminta Shafie, yang menjadi ketua menteri dari 2018 hingga 2020, untuk membantu mempercepatkan proses pemberian MyKas kepada pemohon.
Pada surat itu, terdapat catatan tulisan tangan yang meminta perhatian Jabatan Pendaftaran Negara.
Apa salahnya bantu orang tempatan?
Sementara itu, Chen berkata kandungan surat yang disertakan dengan minit atau arahan daripada Shafie itu jelas tidak merujuk kepada pendatang tanpa dokumen.
Dia yang juga seorang peguam turut mempersoalkan jika salah untuk Shafie membantu orang tempatan yang tiada status kewarganegaraan.
"Saya menyeru semua pihak agar berhenti mempolitikkan isu ini. Setiap kali pilihan raya semakin hampir, tuduhan palsu akan dilemparkan kepada Warisan untuk mencemarkan imejnya," katanya merujuk kepada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Chen juga menggesa kerajaan Sabah mendedahkan berapa banyak surat sokongan serupa telah dikeluarkan oleh ketua menteri semasa, Hajiji Noor.
Terdahulu hari ini, Shafie berkata dia tidak sampai hati untuk menolak rayuan daripada individu yang datang meminta bantuannya.
Menurut The Borneo Post, Shafie berkata surat sokongan tidak mempengaruhi keputusan JPN kerana agensi itu mempunyai kuasa muktamad dalam permohonan kewarganegaraan.
"Saya tidak tahu latar belakang individu yang meminta sokongan saya, sama ada mereka rakyat Sabah atau bukan warganegara," katanya, sambil menambah pemohon telah datang dari jauh semata-mata untuk meminta bantuannya.
Pada Isnin lalu, JPN menjelaskan bahawa surat sokongan daripada pemimpin politik, agensi kerajaan dan NGO boleh dipertimbangkan, tetapi ia tidak menjamin kelulusan permohonan.
JPN turut menjelaskan bahawa MyKas hanyalah dokumen pengenalan untuk pemastautin sementara yang lahir di Malaysia dengan status kewarganegaraan yang masih belum ditentukan.