Dua bekas jurulatih negara Asia Tenggara dilantik sebagai naib presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) bagi memperkuatkan barisan kepimpinan baru persatuan itu.
Bekas jurulatih Indonesia Shin Tae-yong (gambar utama, kiri) dan bekas jurulatih Vietnam Park Hang-seo (gambar utama, kanan) akan bergandingan dengan tiga lagi individu yang turut dilantik sebagai Naib Presiden dan menggalas tanggungjawab memperkasakan skuad kebangsaan Korea Selatan di peringkat antarabangsa.
Menurut CNN Indonesia yang memetik STN News, pelantikan lima naib presiden itu juga untuk meluaskan jaringan dan mengukuhkan kerjasama KFA di peringkat antarabangsa.
“Park Hang-seo dilantik bagi menyokong pembangunan pasukan kebangsaan di semua peringkat, manakala Shin Tae-yong dilantik khusus bagi memperkukuh kerjasama luar,” menurut STN News.
Perkembangan ini menamatkan persoalan tentang peranan yang akan digalas Shin, 54, selepas dipecat Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) pada Disember lalu.
Shin sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kelab dan skuad kebangsaan, bagaimanapun dia menolak tawaran yang diterimanya atas alasan mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Ketika mengemudi skuad Indonesia, dia berjaya membawa republik itu untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023 dan Piala Asia 2027.
Dia juga membantu Indonesia untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan tempat keempat Piala Asia Bawah 23 Tahun 2024.
Park, 67, pula cukup dikenali atas kejayaannya membawa Vietnam muncul juara Asean Championship 2018 dan mara ke suku akhir Piala Asia 2019.
Selepas meninggalkan Vietnam pada 2023, dia dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuk Thailand dan India.