Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Armizan macam 'singa jadi kucing’ - Umno Sabah
Diterbitkan:  Apr 9, 2025 8:56 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali terus berdepan gesaan siasatan lanjut berhubung dakwaan dia memegang jawatan pengarah dalam dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan Negeri Sabah, meskipun menyandang jawatan menteri persekutuan.

Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman menyindir menteri itu pada awalnya "serupa singa" apabila mencabar pihak tertentu mengemukakan bukti, namun kini kelihatan "seperti kucing yang manja."

“Hari itu kelihatan serupa singa, sekarang seperti kucing selepas maklumat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didedahkan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Datu Rosman turut mengingatkan jika hasil siasatan membuktikan Armizan melanggar Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan — yang berkaitan pemegang jawatan dalam syarikat dengan kepentingan kerajaan — beliau bukan sahaja boleh hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Papar, malah juga kehilangan jawatan sebagai menteri kabinet.

Katanya, rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan yang telus dan mengalu-alukan siasatan penuh terhadap kedudukan Armizan dalam dua entiti korporat terbabit.

Armizan sebelum ini menafikan sebarang salah laku, menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika siasatan dijalankan, susulan laporan polis dan dakwaan yang tular di media sosial.

Bagaimanapun, gesaan agar Jabatan Peguam Negara, SPRM, dan pihak polis campur tangan semakin kuat selepas para pemimpin pembangkang dan NGO Sabah turut membangkitkan kemungkinan pelanggaran etika dan perlembagaan.

Pemuda Bersatu Sabah sebelum ini menyoal jika Armizan Mohd Ali ingkar Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen susulan dakwaan memegang jawatan dua GLC Sabah itu ketika memegang jawatan menteri persekutuan.

Ketua Armada Sabah, Hisyam Hazaril Azman juga berkata Perlembagaan Persekutuan dengan jelas melarang mana-mana anggota pentadbiran daripada terlibat dalam perniagaan secara serentak.

Dakwanya, Armizan mungkin telah melanggar Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan seorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan jika memegang jawatan yang memberi keuntungan.

Jika terbukti, katanya, perkara itu perlu dirujuk kepada Perkara 53(1) untuk membolehkan Dewan Rakyat mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS