Polis telah menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar tidak senonoh yang melibatkan pelajar sebuah sekolah menengah di Kulai, Johor.
Ketua Polis Johor M Kumar berkata remaja itu telah ditahan oleh sepasukan polis di sebuah lokasi di Kulai kira-kira jam 5 petang semalam.
Pasukan itu turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menyunting imej yang diambil daripada akaun media sosial mangsa.
“Soal siasat awal mendapati suspek telah (didakwa) menyunting gambar mangsa yang diperolehi daripada akaun media sosial mangsa dengan menggunakan aplikasi teknik kecerdasan buatan (AI).
“Suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari mulai 9 April hingga 12 April untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Polis setakat ini menerima sembilan laporan daripada mangsa.
Laporan pertama dibuat oleh seorang wanita berusia 18 tahun minggu lalu (3 April), yang mendapat tahu tentang gambar lucah yang telah disunting menggunakan imej wajahnya dijual dalam talian.
Menurut Kumar, suspek didakwa menjual imej yang disunting itu pada harga RM2 setiap satu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan (pengedaran/pameran bahan lucah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penyalahgunaan kemudahan rangkaian).
“Mana-mana individu yang menjadi mangsa (kegiatan ini) dinasihatkan tampil dengan membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” kata Kumar sambil mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar mangsa di media sosial.
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan mengenai imej pelajar dan alumni Sekolah Tinggi Foon Yew di Kulai, Johor yang disunting secara tidak senonoh tersebar secara dalam talian.
Menurut laporan media, seorang pelajar perempuan mendakwa di media sosial bahawa rakan sekelas lelaki telah menggunakan teknologi penyuntingan foto untuk mencipta imej tidak senonoh dirinya dan berkongsi dalam kumpulan sembang untuk mendapatkan keuntungan.