Presiden China, Xi Jinping dijadual mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April ini.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pada sidang media di Kementerian Komunikasi di Putrajaya selepas mesyuarat jemaah menteri hari ini.
“Lawatan ini bukan hanya dinantikan, tapi adalah sebahagian daripada usaha Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan ingin melihat hubungan perdagangan yang lebih baik dengan pelbagai negara termasuk China,” katanya.
Lawatan ke Malaysia adalah lanjutan daripada lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke China pada bulan November tahun lalu.

Lawatan ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara Putrajaya dan Beijing.
Kali terakhir Xi Jinping menjejakkan kaki ke Malaysia ialah pada tahun 2013.
Selain Malaysia, Xi juga dilaporkan akan melawat Vietnam dan Cambodia.
Lawatan Presiden Xi Jinping ke Asia Tenggara di tengah-tengah perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Persaingan dua ekonomi terbesar dunia masih belum menunjukkan tanda akan reda — Beijing berikrar akan “berjuang habis-habisan” hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam untuk hampir menggandakan tarif terhadap China.
Langkah itu boleh menyebabkan kebanyakan import dari China dikenakan cukai setinggi 104 peratus, satu peningkatan mendadak yang memburukkan lagi ketegangan antara kedua-dua pihak.
Putrajaya semalam memaklumkan akan menghantar pegawainya ke Washington untuk memulakan proses dialog dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia.