ADS
mk-logo
Berita
ULASAN | Tangani tarif AS dengan strategi, bukan retorik politik

ULASAN | Tarif baru yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas pelbagai produk import dari rantau Asia, termasuk komponen elektronik dan kelengkapan automotif, menandakan satu lagi episod ketegangan perdagangan global yang berisiko memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia.

Ini berlaku dalam suasana ekonomi global masih mencari kestabilan selepas beberapa kejutan rantaian bekalan, inflasi berterusan, dan ketegangan geopolitik termasuk konflik di Timur Tengah dan Laut China Selatan.

Malaysia, sebagai negara perdagangan terbuka, amat bergantung kepada kestabilan pasaran antarabangsa. Nilai eksport negara ke AS melebihi AS$52.5 bilion setahun — menjadikan AS salah satu destinasi eksport utama Malaysia.

Maka, sebarang gangguan seperti peningkatan tarif akan memberi kesan kepada sektor eksport, pelaburan dan pasaran buruh.

Lebih penting, tumpuan seharusnya diberikan kepada penyediaan strategi bersasar — bukannya retorik politik mahupun kritikan yang melemahkan usaha rundingan dan diplomasi ekonomi. Malaysia mesti bergerak pantas untuk menyusun pelan mitigasi dan adaptasi.

ADS

Perkembangan terkini serantau

Negara-negara jiran seperti Vietnam dan Kemboja telah menyatakan komitmen untuk menyemak semula kadar tarif balas dan menyusun semula strategi perdagangannya, termasuk menawarkan konsesi tarif tertentu kepada AS dalam sektor kritikal.

Negara seperti Indonesia pula memperhebatkan rundingan dua hala dengan China dan India sebagai langkah diversifikasi pasaran.

Asean dijangka memainkan peranan penting dalam menghadapi tekanan ini secara kolektif. Cadangan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, untuk mengadakan mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi Asean secara maya adalah langkah ke hadapan yang tepat, dan harus disusuli dengan penyataan bersama serta pelan tindak lanjut ekonomi serantau.

Penubuhan National Geoeconomic Command Centre (NGCC) merupakan satu langkah bijak dan strategik, dan kini tiba masanya untuk memperkasakan peranan NGCC sebagai badan penyelaras antara agensi — merangka respons pantas kepada sebarang gangguan ekonomi global, termasuk penyediaan “tariff impact simulation” dan pelan sokongan industri.

Pemuda Amanah menggariskan 15 cadangan kepada kerajaan Malaysia bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi:

  1. Aktifkan diplomasi ekonomi dua hala dan serantau

  2. Segerakan rundingan perdagangan dengan negara bukan tradisional seperti Turkiye, Afrika Selatan, dan negara-negara Teluk.

  3. Manfaatkan platform CPTPP dan RCEP untuk membina rantaian nilai baru tanpa terlalu bergantung kepada AS dan China.

  4. Fokus pelaburan semula dalam negeri.

  5. Berikan insentif khas kepada syarikat multinasional yang bersedia menempatkan pusat logistik atau pengeluaran utama mereka di Malaysia.

  6. ADS

    Galakkan "nearshoring" dan “friendshoring” dengan mempromosikan Malaysia sebagai lokasi neutral dan stabil di tengah ketegangan kuasa besar.

  7. Tingkatkan keupayaan industri berteknologi tinggi

  8. Laksanakan semakan segera terhadap sasaran NIMP 2030 agar bersesuaian dengan realiti tarif semasa.

  9. Tumpu kepada sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, dan pertahanan digital.

  10. Percepatkan reformasi fiskal dan persekitaran perniagaan

  11. Reformasi sistem percukaian dan kawal selia supaya lebih mesra pelabur.

  12. Pastikan kestabilan politik dan dasar untuk mengekalkan keyakinan pelabur asing dan domestik.

  13. Perluas program latihan semula tenaga kerja.

  14. Peruntukkan dana khas untuk memperkukuh kemahiran tenaga kerja dalam sektor yang berisiko terjejas akibat penguncupan eksport.

  15. Bina ekosistem kerjasama bersama industri bagi memastikan keselarasan antara pendidikan dan kehendak pasaran.

Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Dalam era globalisasi baharu yang lebih rencam dan tidak menentu, tindakan yang cepat, tegas dan tersusun adalah kunci kepada kelangsungan ekonomi negara.

Bersama Asean, Malaysia perlu terus menjuarai suara rantau dalam rundingan global, dan di masa yang sama membina daya tahan ekonomi dari dalam. Tarif AS mungkin bersifat sementara, tetapi strategi Malaysia mesti bersifat jangka panjang dan berasaskan daya saing sebenar.


VINCENT NG RUI WEI merupakan pengerusi biro ekonomi pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS