Polis menahan seorang lelaki disyaki membuat ugutan jenayah melalui media sosial terhadap anggota penguat kuasa DBKL.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 12.10 tengah malam tadi selepas laporan dibuat pegawai penguat kuasa terbabit pada 1.07 tengah hari semalam.
“Laporan dibuat berhubung satu hantaran di Facebook yang memaparkan tangkap layar perbualan dalam aplikasi WhatsApp, mengandungi ancaman dan kenyataan berunsur hasutan terhadap penguat kuasa DBKL,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Rusdi berkata tindakan individu terbabit disifatkan sebagai satu bentuk ugutan dan hasutan terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang dan suspek telah direman selama dua hari mulai hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
-Bernama