Seorang anggota polis cedera parah dipercayai tertembak kepalanya sendiri dengan senjata api jenis pistol dalam kejadian di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di George Town hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.12 petang, memaklumkan anggota polis lelaki berusia 58 tahun bertugas di cawangan kem komandan dijumpai dalam keadaan parah.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan telah dilepaskan daripada senjata yang digunakan oleh anggota terbabit.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut dari pelbagai sudut," katanya dalam kenyataan malam ini.
Dia berkata setakat pukul 10 malam ini, anggota polis itu masih menerima rawatan di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang.
Sehubungan dengan itu, Hamzah meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga boleh mengganggu siasatan pihak polis.
-Bernama