ADS
mk-logo
Berita
Pemimpin Warisan bangkit ‘artikel tular’ dakwa Armizan jumpa hartawan
Diterbitkan:  Apr 8, 2025 8:56 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Seorang pemimpin Warisan membangkitkan lebih banyak persoalan berhubung dakwaan penglibatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali dalam skandal lesen penerokaan mineral di Sabah.

Ketua Pemuda Warisan Terence Au merujuk satu “artikel tular” yang mendedahkan pertemuan antara Armizan, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan dua bilionair daripada sebuah syarikat perlombongan besar.

Au mendakwa artikel tersebut menyatakan dua ahli perniagaan itu telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan jet peribadi pada 13 Mei tahun lalu dan membawa “lapan beg berwarna biru”.

“Tetapi perkara ini (dalam artikel) tidak dapat disahkan oleh mana-mana pihak.

“Sehubungan itu, rakyat menuntut penjelasan daripada Armizan sama ada dia, pada 13 Mei 2024, bersama-sama Hajiji telah bertemu dengan dua bilionair tersebut?” katanya dalam kenyataan.

ADS

Malaysiakini tidak menyiarkan nama dua ahli perniagaan dan syarikat mereka sementara menunggu maklum balas rasmi daripada pihak mereka.

Ketika dihubungi, Armizan berkata, “Tidak perlu membuat spekulasi dan menimbulkan persepsi. Minta sahaja mereka (Warisan) buat laporan kepada SPRM.”

Armizan yang juga ahli Parlimen Papar turut mengulangi pendiriannya terhadap dakwaan terdahulu oleh Warisan, bahawa dia sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan yang sedang dijalankan.

ADS

Au turut mendakwa artikel tersebut mendedahkan yang sebuah syarikat tempatan yang dikaitkan dengan dua bilionair itu telah mengemukakan lima permohonan untuk melombong arang batu di Sabah.

“Oleh itu, rakyat Sabah ingin tahu sama ada benar ketua menteri, melalui Sabah Mineral Management Sdn Bhd, telah memberikan kelulusan awal untuk lima lesen kepada syarikat tersebut untuk melombong arang batu di Sabah?” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Hajiji untuk mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS