Bekas pegawai kanan Cawangan Khas (SB) polis, Awaludin Jadid hari ini membetulkan keterangannya di mahkamah selepas sebelum ini mendakwa pasukan petugas khas kerajaan yang menyiasat kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh tidak mendengar penjelasan daripadanya.
Awaludin, yang pernah menjawat jawatan penolong pengarah Bahagian Antipengganas Cawangan Khas, mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pasukan penyiasat yang dilantik oleh pasukan petugas telah menemu bualnya pada 23 September 2019.
Perkara ini timbul apabila peguam Jerald Gomez, yang mewakili keluarga Koh, merujuk Awaludin kepada laporan pasukan petugas yang menyatakan bahawa kenyataannya telah dirakam di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.
"Kenyataan telah diambil. Tetapi petugas tak panggil saya ambil keterangan," kata bekas pesuruhjaya polis itu ketika menjawab soalan daripada Gomez.
Awaludin memberi keterangan sebagai saksi dalam saman sivil yang difailkan oleh keluarga Koh terhadap kerajaan berhubung kehilangan paksa pastor itu pada Februari 2017.
Semalam, Awaludin dalam keterangannya mengkritik pasukan petugas kerana tidak memanggilnya untuk memberi keterangan dan menyampaikan sisi ceritanya.
Dia merujuk kepada laporan sulit Pasukan Petugas Khas (STF) di bawah Kementerian Dalam Negeri berhubung kehilangan Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat antara hujung 2016 dan awal 2017, yang menyimpulkan bahawa mereka mungkin telah diculik oleh anggota polis yang menyalahgunakan kuasa.
Dia turut menggambarkan pasukan petugas tujuh anggota yang diketuai oleh bekas hakim Abdul Rahim Uda itu sebagai berat sebelah.
Namun begitu, Awaludin mempertahankan dirinya dengan berkata pasukan petugas sepatutnya memanggilnya untuk tampil di hadapan panel bagi menjawab soalan mereka, dan bukannya bergantung semata-mata kepada kenyataan yang diambil oleh penyiasat.
"Yang saya maksudkan di sini ialah, pihak STF ni dia tak memanggil saya untuk, sepertimana dalam Suhakam itu maksud saya hanya ambil keterangan bertulis oleh pegawai-pegawai.
"Maksud saya, saya tidak dipanggil untuk mengadap task force ni
"Itu kefahaman saya. Itu sebab kebanyakan dapatan dia banyak saya tidak setuju, sebab dia buat andaian tanpa bertanya pada saya apa saya sampaikan dalam ceramah-ceramah saya,” tambah Awaludin kemudian, ketika diminta menjelaskan lanjut oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid.
Difahamkan, pasukan petugas itu telah merujuk kepada beberapa ucapan Awaludin yang menyentuh tentang penyebaran ajaran Syiah dan Kristian di Malaysia dalam laporan akhir mereka.
Dalam pemeriksaan semula oleh pihak peguam kerajaan, bekas pegawai polis itu turut menolak dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkaitan kehilangan Koh dan Amri.
Pada 2019, suruhanjaya itu menyimpulkan kedua-dua lelaki itu mangsa kehilangan paksa, dan pelaku dipercayai anggota Cawangan Khas dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Awaludin mendakwa terdapat beberapa perkara yang dia kemukakan semasa siasatan Suhakam yang tidak dimasukkan ke dalam laporan prosiding mereka.
"Ada penjelasan kita berikan tidak diambil kira dalam laporan-laporan.
"Banyak perkara kita jelaskan dalam inkuiri Suhakam tidak timbul dalam laporan-laporan prosiding," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Su Tiang Joo akan bersambung pada 28 April ini dan pasukan peguam kerajaan dijangka akan memanggil lebih ramai saksi.