Kerajaan Singapura akan menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi membantu perniagaan dan para pekerja menangani ketidaktentuan semasa, memperkukuh daya tahan ekonomi serta menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi baharu susulan pengenalan tarif baharu oleh Amerika Syarikat, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong.
Pasukan petugas yang bakal dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yon akan merangkumi agensi ekonomi, Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
“Kerajaan bersedia mengambil tindakan lanjut jika perlu. Kami mempunyai sumber kewangan yang kukuh hasil daripada dasar fiskal berhemah yang diamalkan selama beberapa dekad,” kata Wong dalam kenyataan menterinya di Parlimen, Selasa.
Beliau berkata bahawa agensi ekonomi sedang berhubung dengan syarikat-syarikat yang terkesan bagi menilai tindak balas mereka dan mengenal pasti bentuk sokongan yang diperlukan.
Wong berkata, kerajaan masih menilai dengan teliti kesan situasi itu, terutama terhadap industri tertentu di negara itu.
"Tetapi kebimbangan kami bukanlah kesan langsung yang dihadapi oleh perniagaan itu. Ia adalah implikasi yang lebih luas kepada sistem perdagangan global dan ekonomi dunia," katanya.
Singapura menjangkakan pertumbuhan global yang lebih perlahan – yang akan menjejaskan permintaan luar terhadap barangan dan perkhidmatan negara itu.
Sektor-sektor seperti pembuatan, terutamanya elektronik dan semikonduktor yang mempunyai pendedahan eksport yang lebih tinggi kepada pasaran AS, dijangka paling terkesan.
Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan sedang menilai semula unjuran pertumbuhan negara dan dijangka melakukan semakan semula.
“Pertumbuhan yang lebih perlahan akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan kadar kenaikan gaji.
"Jika lebih banyak syarikat menghadapi tekanan atau memilih untuk memindahkan operasi mereka ke AS, kadar pemberhentian kerja dan pengangguran juga dijangka meningkat,” katanya.
Wong berkata buat masa ini, langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan tahun ini akan dapat meredakan tekanan jangka pendek yang dihadapi individu, isi rumah dan perniagaan.
Dalam masa sama, beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan AS yang mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan dari Singapura, walaupun kedua-dua negara menjalin hubungan dagangan bebas dan kerjasama jangka panjang.
“Kita tidak mengenakan sebarang tarif ke atas import dari AS, malah Singapura mengalami defisit perdagangan dengan AS.
"Jika tarif ini benar-benar bersifat timbal balik dan hanya menyasarkan negara yang mencatat lebihan dagangan, maka kadar tarif terhadap Singapura sepatutnya sifar. Ini bukan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap rakan,” katanya.
Sementara itu, Wong berkata Singapura akan memperkukuh hubungan dengan negara-negara yang sealiran dalam komitmen terhadap perdagangan bebas dan terbuka, khususnya melalui kerjasama serantau dan integrasi dengan ASEAN.
Satu Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dijadualkan pada Khamis bagi membincangkan usaha memperluas perdagangan intra-ASEAN serta menyampaikan mesej jelas berhubung komitmen rantau ini terhadap integrasi ekonomi.
“Sebagai sebuah kumpulan, ASEAN juga akan terus mengukuhkan hubungan kami dengan rakan kongsi yang berfikiran sama dalam bidang kepentingan bersama,” katanya.
- Bernama