Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata tamatnya tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM memberi peluang kepada kerajaan untuk mendemokrasikan proses pelantikan untuk jawatan itu.
C4 berkata proses pelantikan jawatan itu sudah lama dikritik memandangkan budi bicara untuk melantik dan memecat dipegang oleh perdana menteri yang jelas membawa risiko wujudnya pertimbangan politik yang mempengaruhi siapakan yang akan dipilih.
Kata C4 lagi, walaupun proses meminda undang-undang berhubung perkara itu akan mengambil masa, kerajaan boleh mengambil langkah awal dalam mendemokrasikan proses pelantikan, misalnya menerusi langkah panggilan terbuka untuk calon dan menimbang pandangan daripada pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil.
“SPRM memainkan peranan yang amat penting dalam mengesan dan menyiasat dakwaan rasuah, dan diberikan kuasa berkanun yang luas untuk mencapai matlamat ini.
“Oleh itu, perlindungan yang mencukupi perlu disediakan untuk memastikan badan itu beroperasi secara autonomi dan demi keadilan.
“Melantik semula individu yang sama – tanpa proses pelantikan bebas – untuk mengetuai SPRM hanya akan mengukuhkan pemikiran dan perspektif tunggal, dan membawa risiko hubungan peribadi atau konflik kepentingan yang boleh mempengaruhi keputusan ketua pesuruhjaya,” kata C4 dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 April lalu, laporan Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Azam akan diberi lanjutan selama enam bulan.
Namun, Anwar Ibrahim yang telah dua kali melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sejak menjadi perdana menteri pada November 2022, berkata belum ada keputusan dibuat untuk lanjutan kali ketiga.
C4 turut membangkitkan semula seruan untuk mengurangkan budi bicara perdana menteri dalam perkara itu, dengan pelantikan dibuat melalui suruhanjaya bebas.
Menurutnya, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) Bagi Tahun 2019-2023 telah mencadangkan Rang Undang-undang (RUU) pelantikan awam - yang turut merangkumi jawatan ketua pesuruhjaya SPRM - untuk menyelia kuasa pelantikan oleh Eksekutif namun inisiatif itu tidak pernah dilaksanakan.
“Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 menggesa syarat pelantikan dan pemecatan ketua pesuruhjaya SPRM ‘dilihat semula’ sebagai satu substrategi jangka panjang, dengan jangkaan tempoh empat hingga lima tahun untuk dilaksanakan.
“Adakah rakyat Malaysia perlu menunggu sehingga 2029 untuk melihat perubahan dibuat dalam proses pelantikan dalam insititusi awam penting ini?
“Ini peluang utama untuk Anwar menunjukkan komitmennya untuk menegakkan tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah dengan memulakan reformasi, dan kami berharap pentadbirannya tidak mensia-siakan peluang ini,” kata C4 lagi.