Polis sudah merekodkan keterangan lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Nibong Tebal yang dipercayai terlibat dalam kes buli seperti tular di media sosial sejak semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata keterangan semua pelajar berusia 15 tahun itu direkodkan hari ini.
“Berdasarkan siasatan, tujuh pelajar tingkatan tiga terlibat dalam kejadian itu termasuk mangsa dan perakam.
“Setakat ini lima sudah direkodkan keterangan manakala dua lagi akan direkodkan keterangan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Norazmi berkata polis akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.
Sebelum ini, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat yang tular di media sosial itu yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki hari ini berkata jawatankuasa disiplin MRSM mengesyorkan pelajar terlibat kes buli itu ditamatkan pengajian daripada maktab itu.
- Bernama
