Pengunjung pasar raya Econsave di Bandar Puncak Alam di Shah Alam cemas, apabila berlaku kebakaran pada bahagian bumbung pasar raya berkenaan hari ini.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 1 tengah hari ketika pengunjung sedang membeli-belah di dalam pasar raya berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.14 tengah hari.
Beliau berkata seramai 15 anggota bersama dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi kejadian, bagi memadam kebakaran.
“Ketika tiba di lokasi didapati kebakaran melibatkan pasar raya berkeluasan 400x400 kaki persegi terbakar di bahagian dalam bumbung.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kebakaran berjaya dikawal,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata kerja-kerja mencari punca kebakaran sedang dijalankan.
Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan gambar dan video kebakaran tersebut dengan pengunjung serta pekerja pasar raya bergegas keluar, selepas menyedari kepulan asap di dalam bangunan.
Selain itu, satu hantaran di laman Facebook dengan nama “Teksi Puncak Alam”, memuat naik video insiden yang menunjukkan keadaan terkawal dengan pekerja serta pengunjung pasar raya tersebut berada di luar bangunan berkenaan, dengan loceng kecemasan berbunyi.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian sekitar 4 petang mendapati keadaan terkawal dan peniaga serta pekerja telah dibenarkan masuk ke premis berkenaan.
- Bernama
