Sebuah kesatuan ulama berpengaruh berpangkalan di Qatar, Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa (Ittihaad al-'Aalami li' Ulama'i al-Muslimin/ Ittihad Ulama) mengeluarkan fatwa luar biasa yang menyeru semua umat Islam dan negara majoriti Islam mengisytiharkan jihad terhadap Israel, susulan 17 bulan serangan ganas terhadap rakyat Palestin di wilayah terkepung itu.
Fatwa yang dikeluarkan oleh salah satu kesatuan ulama Islam paling berpengaruh itu mendapat perhatian meluas dalam kalangan umat Islam, mencetuskan pelbagai reaksi perdebatan dan keterujaan.
Dan lebih membimbangkan, ia turut melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar. Dalam kenyataannya, beliau berkata Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan mengadakan perbincangan khas bagi meneliti fatwa yang dikeluarkan oleh itu.
Jihad mempunyai konotasi negatif di dunia Barat, terutamanya selepas peristiwa 11 September apabila ia dikaitkan dengan keganasan, pembunuhan, penculikan, permusuhan terhadap orang asing, dan kekacauan di Timur Tengah.
Naratif Islamofobia ini tersebar begitu luas, lebih-lebih lagi apabila makna sejatinya terpesong. Jihad sesungguhnya bermaksud “berusaha atau berjuang” di jalan Allah — perjuangan menghadapi kesukaran hidup secara bermoral, mengatasi kelemahan diri, dan melakukan reformasi sosial.
Dalam persimpangan sejarah, jihad juga ditafsirkan sebagai perjuangan menentang campur tangan kuasa asing penjajah, dan gerakan pembebasan demi keadilan untuk semua.
Istilah ini dijelaskan dengan sangat baik oleh Profesor John L Esposito dari Universiti Georgetown dalam karya beliau Unholy War: Terror in the Name of Islam, yang membezakan antara tindakan keganasan dan perjuangan sebenar dalam Islam.
Fatwa ialah pendapat atau ketetapan undang-undang yang dikeluarkan oleh ulama Islam dalam hal berkaitan hukum syariah.
Ia memberi panduan untuk menerapkan prinsip Islam dalam isu-isu tertentu. Ia bukan perintah yang mengikat seperti keputusan mahkamah, tetapi membawa kuasa moral agama yang tinggi.
Konsep yang sama turut wujud dalam tradisi agama Yahudi dikenali sebagai Responsum.
Perjuangan Palestin
Penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin sejak 1948 bawah rejim Zionis — termasuk dasar rasisme sistemik terhadap etnik Arab beragama Kristian dan Islam, pembinaan penempatan haram, pembunuhan, pengeboman dan pelanggaran hak asasi manusia — mencetuskan kebangkitan gerakan pembebasan Palestin.
Perjuangan ini juga disebut sebagai jihad — dek kerana perjuangan ini ke arah keadilan dan pembebasan dari penjajahan Israel.
Antara kumpulan terlibat ialah PLO, Fatah, PFLP, PFLP-GC, DFLP, PIJ, dan Hamas yang muncul dari pelbagai ideologi — dari nasionalisme sekular, sosialisme Marxis hingga Politikal Islam.
Beberapa kumpulan ini disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh sesetengah negara, manakala yang lain menerima sokongan, mencerminkan perbezaan pandangan komuniti antarabangsa terhadap keabsahan dan perjuangan mereka.
Fatwa dan pertimbangan geopolitik
Ittihad Ulama Alami diasaskan oleh Yusuf al-Qaradawi, tokoh ulama terkenal dan salah satu ideolog utama Gerakan Ikhwanul Muslimin.
Beliau pernah diharamkan masuk ke AS, UK, Perancis dan Tunisia, dan dianggap pengganas oleh Bahrain, Mesir, Arab Saudi dan UAE kerana fatwa kontroversinya — termasuk sokongan terhadap pengeboman berani mati di Palestin, kenyataan anti-Yahudi, dan seruan jihad terhadap rejim Bashar Assad, Syria.
Namun, di sebalik itu, Qaradawi juga seorang yang paradoks, dengan menolak pemerintahan teokratik, menyokong keadilan dan demokrasi serta menentang rejim authoritarian dengan menamakan mereka sebagai ‘musuh Islam’.
Kini Ittihad Ulama Alami diterajui oleh Ali al-Qaradaghi, anak muridnya, dan organisasi ini pernah bekerjasama dengan Jakim, Liga Ulama Maghribi, dan Liga Dunia Muslim. Sesetengah pendapat mereka mempengaruhi penggubalan dasar Islam di Malaysia.
Walaupun begitu adalah sangat wajar fatwa terbaru ini dinilai semula berdasarkan keadaan realiti geopolitik semasa.
Pertama sekali, campur tangan ketenteraan di negara asing bukanlah semudah menguar-uarkan kenyataan retorik. Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa dan pasti akan mencetuskan tindak balas daripada sekutu Israel, termasuk kemungkinan serangan balas ketenteraan.
Menjadi rahsia umum bahawa Israel memiliki senjata nuklear dan dipercayai menyimpan kira-kira 90 hulu ledak nuklear berasaskan plutonium serta cukup plutonium untuk 100–200 bom, jarak sederhana dan jauh.
Selain itu, kita juga perlu mengambil iktibar daripada sokongan ketenteraan Amerika Syarikat yang kekal sebagai jaminan strategik Isreal yang ‘kekal’ .
Sebagai contoh, selepas serangan yang dilakukan Hamas pada 7 Oktober dan tercetusnya perang di Gaza, Amerika Syarikat menghantar kapal perang dan pesawat tentera ke wilayah Mediterranean Timur serta memulakan penghantaran bantuan ketenteraan tambahan kepada Israel.
Ini menunjukkan bahawa sebarang cubaan menghantar kekuatan ketenteraan ke wilayah Israel memerlukan kekuatan dan persediaan yang setara. Negara-negara Islam mungkin tidak memiliki kekuatan setanding untuk mengimbangi ancaman dalam peperangan sedemikian.
Kedua, potensi sekatan ekonomi juga mesti dipertimbangkan secara serius. Amerika Syarikat telah membina satu sistem global saling pergantungan kompleks, yang melibatkan kebanyakan negara melalui rangka kewangan monetari, pelaburan dan dominasi teknologi.
Contoh terkini adalah ketika Presiden Donald Trump secara sepihak mengenakan Tarif timbal balas terhadap banyak rakan dagang mereka, yang mencetuskan kebimbangan dan kepanikan kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Maka segera Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara Asean untuk berunding semula secara kolektif mengenai terma ekonomi mereka dengan kuasa besar tersebut.
Dalam nada yang sama, terdapat risiko nyata bahawa syarikat multinasional pro-Israel (MNC) seperti Intel, Google, dan Microsoft mungkin memilih untuk menarik pelaburan atau menarik balik perkhidmatan mereka dari Malaysia.
Senario ini boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran dan dalam kes yang ekstrem, mengganggu ekonomi dan kehidupan harian yang bergantung kepada teknologi.
Ketiga, fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa itu juga seolah-olah menjadi isyarat baharu kepada seruan jihad global, berpotensi mengganggu keseimbangan kuasa dan kestabilan serantau.
Seruan sebegitu boleh menyebabkan kemusnahan besar-besaran — berpotensi mengorbankan berjuta-juta nyawa, kemerosotan ekonomi, dan krisis berpanjangan yang mungkin tidak mampu ditanggung oleh Rantau Asia Barat.
Kesannya boleh mengubah susunan geopolitik global, pihak yang menang jadi arang yang tewas jadi abu, kesengsaraannya akan berlarutan secara generasi — ditandai dengan, kemusnahan ekonomi, dan krisis kemanusiaan berskala besar.
Oleh itu, pendekatan pragmatik adalah paling mustahak— perang bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Sebuah pakatan multilateral antara kuasa-kuasa besar Timur dan Barat perlu dibentuk untuk menyokong perjuangan hak rakyat Palestin, mengembalikan maruah dan hak asasi manusia.
Mengheret penjenayah perang ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa bukanlah sesuatu yang mustahil. Sejarah telah membuktikan kejayaan peralihan secara aman: pengakhiran apartheid di Afrika Selatan, kemerdekaan Namibia pada tahun 1990, dan proses perdamaian pascakonflik di Bosnia-Kosovo dan Rwanda melalui mekanisme seperti Mahkamah Gacaca.
Penting juga untuk diakui bahawa Ittihad Ulama itu bukan satu-satunya badan agama yang berwibawa dalam dunia Islam. Majlis Hukama Muslimin, contohnya, adalah organisasi antarabangsa bebas yang terdiri daripada para ulama yang dikenali sebagai pendukung, toleransi dan kesederhanaan.
Dar al-Ifta Mesir juga telah menolak fatwa IUMS dan mencadangkan pendekatan yang lebih realistik dan membina.
Malaysia perlu sangat berhati-hati dan mengelak daripada terjerumus dalam retorik ideologi yang boleh meradikalkan anak muda kita atau mendorong mereka menyokong tindakan militan secara membuta tuli.
Apa yang diperlukan sekarang ialah respons yang berstrategi dan berpijak di bumi nyata, yang mengambil kira kompleksiti geopolitik. Harapannya ialah agar Naim — dan pihak berautoriti— mampu menghargai keperluan pendekatan yang lebih berimbang ini.
AMIRUL MUKMININ ialah penasihat dasar, penyelidik dan penganalisa politik antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
