Kekuatan ekonomi perlu seiring dengan pemerkasaan seni dan budaya kerana ia menjadi lambang keutuhan sesebuah negara dan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada majlis pelancaran buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata pembangunan tamadun akan tempang tanpa usaha gigih untuk mengangkat aspek berkenaan.
“Pemerkasaan ekonomi itu tidak memadai tanpa pemerkasaan seni dan budaya kerana yang menentukan keutuhan sesebuah negara dan masyarakat serta pertumbuhan tamadun itu adalah kestabilan politik dan kekuatan ekonomi. Namun, pemerkasaan seni dan budaya juga penting.
“Sebab itu dalam MADANI, sementara kemampanan ekonomi menjadi tonggak, saya tidak pernah meninggalkan soal daya cipta, ihsan dan amanah yang sebenarnya melengkapkan nilai peribadi kemanusiaan,” kata beliau.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalannya Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Shaik Rizal Sulaiman serta Ketua Pengarah LPSVN Amerrudin Ahmad.
Pada masa sama, Perdana Menteri meminta MOTAC, Balai Seni Negara, sasterawan dan pusat berkaitan seni dan budaya untuk berganding bahu, dalam memikirkan langkah baharu bagi memastikan rakyat diberikan pemahaman, pencerahan dan pendedahan terhadap hasil karya seni tempatan.
“Kita bicara soal transisi tenaga atau transformasi digital, tapi kalau ia menyebabkan kesenjangan antara golongan yang mempunyai keupayaan menguasai lapangan dan kekayaan baharu tetapi meminggirkan majoriti rakyat, ia tidak memberi makna pada pertumbuhan ekonomi.
“Ini cabaran kita, perlu bicara karya-karya seni dan pemikir bangsa. Mudah-mudahan usaha kita lebih memperkenalkan tokoh-tokoh besar dalam dunia seni dan hari ini Ismail Zain, kita dapat mengambil beberapa langkah termasuk di Balai Seni Negara, Perpustakaan Negara dan Arkib Negara,” kata beliau.
Anwar turut menyifatkan karya Ismail Zain yang merupakan seorang seniman, kurator, pendidik dan pemikir seni, memberikan gambaran falsafah figura tersebut terhadap gabungan antara masyarakat tradisi dengan keperluan membawa perubahan dan menerima kemodenan.
Penerbitan buku itu merupakan hasil kerjasama antara Balai Seni Negara dan Fergana Art yang menghimpunkan 33 teks tulisan Ismail Zain, yang dihasilkan sepanjang 17 tahun dari 1972 hingga 1989.
Buku berkenaan yang disunting oleh TK Sabapathy, Eddin Khoo dan Jaafar Ismail dengan terjemahan utama oleh Pauline Fan, merangkumi karya terbesar Ismail Zain dalam satu jilid dengan tulisan utama dalam Bahasa Melayu dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris.
- Bernama