Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes buli: Jangan cuba nak rayu lagi, kata Asyraf Wajdi
Diterbitkan:  Apr 8, 2025 12:49 PM
Dikemaskini: Apr 10, 2025 4:05 AM

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, bertegas untuk tidak akan berkompromi atau menukar fikiran daripada saranan agar semua pelajar yang terlibat dengan kegiatan membuli disingkirkan dari institusi pendidikan agensi tersebut.

Menurutnya, Mara tidak akan mengambil kira latar belakang pelajar terbabit untuk menetapkan hukuman jika terbukti melakukan kesalahan berat seperti membuli.

Menegaskan tiada peluang kedua diberikan, Asyraf Wajdi berkata, dia juga tidak akan membuka pintu untuk sesiapa yang datang merayu agar pelajar Maktab Rendah Sains Mara berkenaan diberi keringanan.

"Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.

"Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu.

"Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini," katanya di media sosial hari ini.

Terdahulu Asyraf Wajdi memaklumkan memaklumkan tujuh pelajar MRSM Pulau Pinang yang terbabit dalam kes buli - dan klip video itu tular semalam - disyorkan agar ditamatkan pengajian di sekolah berkenaan.

Katanya, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin MRSM yang mendapati dua pelajar terlibat buli fizikal dan lima yang lain bersubahat.

Media pula melaporkan pihak polis turut membuka fail siasatan berhubung insiden berkenaan dan akan memanggil pelajar terbabit untuk dirakam keterangan.

Kata Asyraf Wajdi, perbincangannya dengan Ketua Pengarah Mara semalam telah menemui beberapa solusi yang perlu diperhalusi bagi mengekang kegiatan buli di MRSM daripada berulang.

Antaranya, kata Setiausaha Agung Umno itu lagi, ialah cadangan agar warden asrama sepenuh masa ditempatkan di semua MRSM.

"Warden itu boleh dilantik melalui proses temu ramah dan penilaian holistik terhadap calon-calon dalam kalangan pesara tentera mahupun polis yang punya keupayaan baik untuk menerapkan elemen disiplin serta memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS