ADS
mk-logo
Berita

Negara-negara Asean mencapai kata sepakat berhubung menghantar pegawai ke AS untuk sesi perbincangan mengenai tarif yang dikenakan negara itu baru-baru ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah untuk memulakan perbincangan adalah sebahagian daripada penjajaran Malaysia dengan "diplomasi lembut penglibatan senyap" berbanding "diplomasi megafon".

"Bersama-sama dengan rakan sekerja di Asean, kita akan menghantar pegawai ke Washington untuk memulakan proses dialog," kata Anwar semasa ucaptama pada Persidangan Pelaburan Asean hari ini.

"Mungkin terdapat ruang terhad untuk menyemak semula tujuan asas (di sebalik tarif), tetapi masih terdapat skop untuk melaraskan pelaksanaan dasar itu," tambahnya.

Anwar juga menyatakan bahawa tarif Presiden AS Donald Trump bukan cabaran pertama atau terakhir terhadap multilateralisme.

ADS

"Tetapi, jika Asean boleh terus bertahan - kekal terbuka, pragmatik dan kohesif - ia mungkin antara yang terakhir yang berpegang kepada kepercayaan bahawa kerjasama akan menjadikan dunia lebih baik," tegasnya.

Sambil menegaskan bahawa Asean terus komited secara meluas terhadap keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi, Anwar berkata Asean mesti lebih bergantung kepada dirinya sendiri dengan mengukuhkan perdagangan dalam negara anggota.

"Jumlah dagangan barangan (Asean) berjumlah 3.5 trilion dolar, tetapi angka ini tidak dijamin," katanya.

"Dengan tarif yang bertubi-tubi melanda seluruh dunia dengan cara yang pantas, kita menyaksikan kekacauan susunan global.

"Kita mesti bergerak melangkaui retorik kepada pelaksanaan. Liberalisasi tarif di rantau ini sebahagian besarnya lengkap, tetapi penjajaran kawal selia, logistik rentas sempadan dan ketersambungan digital masih belum selesai," tambahnya.

Anwar juga berkata walaupun situasi itu menimbulkan godaan untuk berundur ke dalam nostalgia atau fatalisme, kekuatan Asean "bukan terletak pada drama, tetapi pada ketahanan".

“Asean sentiasa menjadi bergerak melalui evolusi, bukan revolusi.

"Selama hampir enam dekad, ia telah bertahan dalam peperangan, krisis dan rampasan kuasa (namun) masih berjaya melangkah seinci ke hadapan, selalunya mengecewakan, tetapi tetap maju," katanya.

Dia juga menegaskan bahawa perdagangan Malaysia dengan AS telah lama menjadi model keuntungan bersama, dengan eksport Malaysia menyokong pertumbuhan tempatan sambil merangsang penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh AS.

Anwar memberi amaran bahawa walaupun hubungan komersial sedemikian telah memberi perkhidmatan yang baik kepada kedua-dua negara setakat ini, tarif Trump mungkin akhirnya "memudaratkan semua".

Minggu lalu, Trump mendedahkan tarif timbal balik baru ke atas beberapa rakan dagangan Asia Tenggara Washington, termasuk Malaysia, yang dikenakan tarif 24 peratus.

Kemboja dikenakan tarif 49 peratus, tertinggi di kalangan negara Asean, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Sementara Brunei juga dikenakan tarif 24 peratus, barangan eksport Indonesia ke AS boleh melihat tarif 32 peratus. Tarif 17 peratus dan 10 peratus turut dikenakan masing-masing ke atas Filipina dan Singapura.

Tarif itu dijangka berkuat kuasa pada 9 April, berikutan pelaksanaan tarif asas 10 peratus pada 5 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS