Dua NGO alam sekitar menggesa badan kehakiman mengeluarkan alasan penghakiman bagi keputusan Mahkamah Rayuan pada Januari tahun lepas yang menolak semakan kehakiman bagi menarik balik penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah.
Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACFS) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata tanpa alasan penghakiman itu mereka tidak boleh mendapatkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.
“Walaupun banyak peringatan dan tindakan susulan oleh pasukan undang-undang kami, termasuk surat rasmi kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, alasan penghakiman masih belum dikeluarkan selepas lebih satu tahun.

“Kelewatan yang luar biasa berpanjangan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai ketelusan dan kecekapan proses kehakiman dalam hal kepentingan awam,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Mereka berkata kelewatan itu telah menyebabkan lebih 150 ekar hutan dimusnahkan sejak Mac 2024.
SACFS dan Peka berhujah bahawa kerajaan negeri Selangor pada 2022 secara tidak sah membatalkan pewartaan Bukit Cherakah selama 20 tahun.

Jabatan Perhutanan Selangor menjelaskan bahawa pemakluman warta 5 Mei untuk menyahwartakan Hutan Simpan Bukit Cerakah adalah untuk melengkapkan proses nyahsenarai yang terhenti sekitar 2006.