Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata Washington sedang mengadakan perbincangan "peringkat tertinggi" dengan Iran berhubung program nuklear Tehran, sambil menyatakan rundingan itu adalah "demi kepentingan terbaik Iran," lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kami sedang mengadakan perbincangan secara langsung dengan Iran, dan ia telah bermula. Ia akan diteruskan pada Sabtu. Kami ada satu mesyuarat besar, dan kita akan lihat apa yang boleh berlaku. Saya rasa semua orang bersetuju bahawa mencapai perjanjian adalah lebih baik berbanding melakukan perkara yang sudah jelas - dan perkara itu bukanlah sesuatu yang saya mahu terlibat," katanya kepada pemberita di Rumah Putih.
"Sekarang kami berunding secara langsung dengan mereka. Dan mungkin satu perjanjian akan dimeterai - itu sangat bagus, ia benar-benar bagus untuk Iran," tambahnya.
Perbincangan itu jika ia diteruskan, akan menandakan rundingan secara langsung pertama antara Washington dan Tehran sejak pemeteraian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2015.
Trump secara unilateral menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear itu pada 2018 - satu perjanjian yang dimeterai antara Iran dan kuasa dunia - serta mengenakan semula sekatan ke atas Tehran sebagai sebahagian daripada apa yang digambarkannya sebagai "kempen tekanan maksimum."
Walaupun Iran mematuhi perjanjian itu selama lebih setahun selepas AS menarik diri, negara itu secara beransur-ansur mengurangkan komitmennya dengan alasan kegagalan negara penandatangan lain untuk melindungi kepentingan ekonominya.
- Bernama-Anadolu