ADS

Rata-rata orang ramai yang ditemui Malaysiakini berpendapat tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif baru berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia.

Menurut mereka, langkah tersebut bukan sahaja dijangka menjejaskan sektor eksport negara, malah turut memberi impak secara tidak langsung kepada peluang pekerjaan serta kos sara hidup rakyat.

Ini kerana apabila tarif tinggi dikenakan, harga barangan import di pasaran Amerika akan menjadi lebih mahal. Situasi ini pastinya menyebabkan pengguna di negara itu mengurangkan pembelian barangan import, termasuk dari Malaysia.

Pengurus Besar Pembuatan, Daniel Yeap, 40 menyatakan kebimbangan kesan tarif baru itu akan menyebabkan pengeluar atau kilang terpaksa mengambil langkah mengecilkan operasi serta memberhentikan pekerja, yang akhirnya meningkatkan pengangguran.

ADS

“Sebelum tarif baru pun, sudah ada impak seperti dalam industri solar. Cukai yang dikenakan untuk eksport ke AS menyebabkan harga meningkat. Banyak kilang mula buang pekerja walaupun ada pampasan diberikan.

“Jika situasi ini berterusan, peluang pekerjaan akan semakin berkurang, kuasa membeli rakyat juga akan merosot. Ini sangat membimbangkan,” katanya.

Pelajar jurusan Dakwah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Afif, 23, berpendapat Malaysia berisiko terkesan memandangkan keadaan ekonomi negara ketika ini pun tidak stabil.

Dia menyatakan kebimbangan kenaikan tarif ini turut mewujudkan kesan berantai apabila peningkatan kos pengeluaran akhirnya dipindahkan kepada pengguna.

Akibatnya rakyat tempatan berdepan dengan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

“Saya rasa Malaysia pasti akan menerima tempiasnya. Sekarang pun ekonomi kita sudah terumbang-ambing, harga barang makin naik,” katanya.

Bagi Pentadbir Badan Khairat Kematian, Sha Jamian, 42, langkah AS itu menuntut kerajaan Malaysia merangka strategi yang lebih berkesan memandangkan rakyat kini berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Malaysia sebenarnya belum bersedia. Sekarang pun harga barang dah mahal, gaji minimum rakyat pun tak mencukupi (untuk tampung keperluan),” katanya (gambar bawah, kiri).

Senada dengannya, Penasihat Jualan, Pang See Mou, 38, berkata rakyat tidak mempunyai banyak pilihan dalam menghadapi situasi ini.

“Kesan ini bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi seluruh dunia. Namun sebagai rakyat biasa, kita tiada kuasa untuk mengubah keadaan. Cukai tetap perlu dibayar. Kita hanya mampu bertahan sahaja,” ujarnya.

Bagi Pengelola Umrah dan Haji Eco Riths, Rithsman Mohamed, 55, walaupun kesan tarif ini mungkin belum dirasai dalam masa terdekat, namun impaknya dalam jangka panjang tidak boleh dipandang ringan.

Dia menyatakan kebimbangan kilang-kilang berpindah keluar atau operasi dikurangkan, seterusnya meningkat pengangguran di negara ini.

ADS

“Mungkin dalam setahun dua tidak nampak, tapi lambat laun kesannya akan terasa,” katanya.

Penolong Pengurus Gimnasium, Amirul Fitri, 28, pula berpandangan isu tarif ini turut menjadi ujian besar buat Perdana Menteri dalam menguruskan ekonomi negara.

“Ini bukan sahaja isu ekonomi, tetapi juga akan menguji kredibiliti Perdana Menteri sama ada beliau mampu atau tidak menangani cabaran ini.

“Tambahan pula, sekarang Asean dipengerusikan oleh PMX. Kita tunggu dan lihat langkah beliau. Kalau gagal ditangani dengan baik, ini boleh menjadi peluru politik kepada pembangkang untuk menyerang,” ujarnya.

Penyunting Video, Fahmi Ashrafi, 24, pula berpendapat rakyat AS sendiri akan menerima impak yang lebih besar apabila berlaku kenaikan harga barang di negara itu.

“Saya rasa kesan terbesar sebenarnya kepada rakyat AS. Kalau negara-negara lain bertindak balas, mereka sendiri yang akan susah kerana pilihan barangan mereka akan lebih terhad,” katanya.

Pada 2 April 2025, Presiden AS Donald Trump mengumumkan siri tarif baharu yang memberi impak kepada banyak negara termasuk Malaysia pada kadar 24 peratus.

Pada Rabu, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan “tarif asas minimum” sebanyak 10 peratus ke atas semua import, dengan kadar lebih tinggi disasarkan kepada rakan dagang tertentu.

Di Malaysia, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke Amerika

Anwar berkata Menteri MITI Tengku Zafrul Aziz juga akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN untuk menyediakan tindakan yang dilselaraskan.

"Kita perlu sedar bahawa tarif kali ini mungkin permulaan kepada cabaran lebih besar dalam (landskap) ekonomi luar. Kita semua perlu bersedia dari segi mental untuk berdepan potensi cabaran lebih getir pada masa akan datang dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk menjaga kemakmuran kita yang berterusan,” kata Perdana Menteri.

Bagaimanapun Anwar memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Anwar juga menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS