Malaysia telah membuat kemajuan yang besar dalam mengurangkan jumlah banduan hukuman mati susulan penghapusan hukuman mati mandatori, namun Amnesty International Malaysia mengingatkan pelaksanaan hukuman masih berterusan— terutamanya untuk kesalahan dadah — sekali gus boleh menjejaskan pencapaian tersebut.
Dalam laporan terbarunya, Death Sentences and Executions 2024, Amnesty berkata 24 hukuman mati baru telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia tahun lalu, sembilan daripadanya adalah untuk kesalahan berkaitan dadah.
Walaupun terdapat penangguhan terhadap pelaksanaan hukuman mati sejak 2018 dan perubahan undang-undang Malaysia pada 2023, negara ini kekal antara 54 negara yang masih mengekalkan hukuman mati.
“Malaysia mesti memilih untuk berada di pihak yang betul dalam sejarah—dan itu bermakna mengambil langkah seterusnya menuju penghapusan sepenuhnya,” kata Pengarah Eksekutif Sementara Amnesty International Malaysia, Vilasini Vijandran.
“Walaupun moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati sejak 2018 dan penghapusan hukuman mati mandatori pada 2023 adalah langkah penting ke hadapan, hakikatnya hukuman mati masih dijatuhkan—dengan 38 peratus daripada hukuman mati baru yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah untuk kesalahan berkaitan dadah,” katanya.
Dia berkata kesalahan berkaitan dadah tidak memenuhi ambang “kesalahan yang paling serius” menurut undang-undang antarabangsa, menjadikan pelaksanaan hukuman tersebut secara berterusan adalah tidak sah.
Menurut laporan itu, jumlah pelaksanaan hukuman mati global meningkat kepada 1,518 pada tahun 2024—jumlah tertinggi sejak 2015—walaupun jumlah negara yang melaksanakannya menurun kepada angka terendah dalam sejarah.
Kebanyakan pelaksanaan berlaku di rantau Asia-Pasifik, termasuk angka yang tidak dilaporkan di China, Korea Utara, dan Vietnam, di mana amalan hukuman mati dirahsiakan.
Bagaimanapun, Amnesty memuji perkembangan di Malaysia, dengan menekankan bahawa lebih daripada 1,000 hukuman mati telah dipinda oleh Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan tahun lalu.
Pada masa yang sama, ia menyatakan bahawa ketergantungan berterusan mahkamah rendah terhadap hukuman mati—terutamanya untuk kesalahan dadah—menimbulkan kebimbangan.
“Keputusan Malaysia tetap tercemar selagi mahkamah terus menjatuhkan hukuman mati untuk kesalahan berkaitan dadah—satu tindakan yang melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” kata Vilasini.
Menurutnya walaupun tiada hukuman mati berkaitan dadah yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan semasa semakan terhadap 860 permohonan, Mahkamah Tinggi terus menjatuhkan hukuman sebegitu.
Selain itu, Amnesty membandingkan pendirian Malaysia menentang hukuman mati di peringkat antarabangsa - termasuk mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung PBB untuk moratorium global — dengan kurangnya tindakan di dalam negara untuk menghapuskan hukuman mati.
Kumpulan itu juga mengkritik sifat kabur proses pengampunan dan mendesak tindakan segera untuk meminda hukuman lebih daripada 140 orang yang masih menunggu hukuman mati.
“Jika Malaysia mahu menjadi suara yang berwibawa menentang hukuman mati — bukan sahaja di forum diplomatik tetapi dalam amalan — ia mesti memimpin dengan contoh.
“Sebagai pengerusi ASEAN, menghapuskan hukuman mati untuk kesalahan berkaitan dadah akan menetapkan satu preseden yang kuat di rantau ini.
“Ia juga akan memperkukuhkan kemampuan Malaysia untuk memperjuangkan rakyatnya yang berhadapan dengan pelaksanaan hukuman mati di luar negara apabila komitmen dasar luar negara disokong oleh pembaharuan yang nyata dan berpanjangan di dalam negeri,” kata Vilasini.