Seorang bekas pegawai kanan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa polis dan SB keliru dengan dasar tidak konsisten yang diguna pakai negeri-negeri berkenaan Syiah.
Bekas penolong pengarah kanan SB Awaludin Jadid berkata, kekeliruan itu kerana sejumlah pihak berkuasa agama telah mengisytiharkan Syiah sebagai menyimpang daripada Islam dan mengambil tindakan terhadap ajarannya, sementara negeri seperti Pulau Pinang memiliki pendirian berbeza.
“Tidak konsisten berhubung tindakan yang diambil jabatan agama Islam negeri-negeri,” katanya ketika memberi keterangan dalam pendengaran saman sivil yang difailkan oleh keluarga pastor Raymond Koh terhadap kerajaan berhubung kehilangan paksa paderi itu pada Feb 2017.
Keluarga Amri Che Mat, seorang aktivis sosial yang didakwa terlibat dalam fahaman Syiah, turut memfailkan saman berasingan terhadap kerajaan atas kehilangannya pada 2016.
Awaludin berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam plaintif Jerald Gomez, yang mahu bekas pegawai polis itu mengesahkan kandungan satu ceramah yang disampaikannya beberapa minggu sebelum kehilangan Amri.
Ketika itu dia memegang jawatan ketua penolong pengarah Bahagian Ekstremisme SB (E2), yang antaranya bertanggungjawab membuat risikan terhadap kegiatan keagamaan dan sosial yang ekstrem di Malaysia.
Menurut petikan transkrip ceramah yang dibacakan oleh Gomez di mahkamah, Awaludin memberitahu hadirin bahawa polis menjadi keliru apabila pemimpin agama di Pulau Pinang menyatakan ajaran Syiah tidak bertentangan dengan Islam.
“Kita jadi keliru kerana pertamanya, setiap negeri telah fatwakan Syiah sebagai ajaran yang tidak boleh diamalkan, tetapi seperti di Pulau Pinang, kita tidak (panggil orang untuk) ambil kenyataan.
“Ini kerana ada negeri yang ambil tindakan (terhadap Syiah), ada negeri yang tidak ambil tindakan,” katanya lagi.
Amri hilang di Perlis pada 24 November 2016, manakala Koh diculik secara terang-terangan di Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Februari 2017.

Pada 2019, Suhakam memutuskan bahawa penculikan Koh dan Amri merupakan kehilangan paksa yang dilakukan oleh SB.
Melalui saman ini, keluarga Amri dan Koh menuntut agar pihak berkuasa mendedahkan lokasi mereka.
‘Pengikut Syiah adalah musuh’
Ketika pemeriksaan balas, Awaludin mengesahkan bahawa dia pernah menggambarkan pengikut Syiah sebagai "musuh" dalam satu seminar di Kementerian Dalam Negeri pada 2016.
“Ini kerana Syiah bertentangan dengan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika diminta menghuraikan apa yang dimaksudkannya sebagai “musuh”.
Awaludin juga mengesahkan bahawa dalam ceramahnya, dia berkata polis berharap PAS tidak akan menyertai semula Pakatan Rakyat dan sebaliknya menjadi “rakan” mereka.
Pakatan Rakyat merujuk kepada kerjasama politik tidak rasmi yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.
Menurutnya lagi, polis juga berharap PAS akan menjadi rakan mereka “untuk program-program”.
Ketika perbicaraan hari ini, Awaludin mengelak daripada menjawab beberapa soalan yang diajukan Gomez berkenaan prosedur polis.
Dia berkata “tidak tahu” jika polis boleh mengesan lokasi seseorang melalui ahli keluarga mereka, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, aplikasi kesihatan MySejahtera, atau Lembaga Hasil Dalam Negeri, kerana perkara itu “di luar bidang kuasa saya”.