Dua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman nekad mendekati lebih ramai anak muda Melayu bagi menarik mereka menyertai parti itu.
Menurut mereka, usaha menarik sokongan orang Melayu perlu diteruskan memandangkan keahlian kaum itu dalam DAP kurang 10 peratus.
"Sebagai anggota CEC, kami akan terus berusaha untuk mendekati masyarakat Melayu serta menguatkan sokongan di kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai anak muda, termasuk anak muda Melayu serta golongan wanita menunjukkan minat terhadap DAP dan ada yang telah menyertai sebagai ahli parti.
"Usaha untuk menggalakkan penyertaan baru, termasuk daripada kalangan orang Melayu, akan terus diperkasakan selagi mana mereka mendukung prinsip dan perjuangan parti," kata Syahredzan dalam sidang media bersama di ibu pejabat DAP, di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pemilihan parti itu baru-baru ini, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi memenangi jawatan Naib Pengerusi DAP, manakala Young Syefura pula dipilih sebagai Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.
Kedua-dua mereka merupakan pemimpin Melayu yang terpilih dalam CEC DAP bagi penggal 2025 hingga 2028 di mana Syahredzan memperoleh undian sebanyak 2,065 manakala Young Syefura mendapat 1,943 undi.

Sebelum ini, Syahredzan berkata dia komited untuk terus menjadi 'duta' kepada parti itu dalam usaha mendapatkan lebih banyak sokongan orang Melayu.
Menyifatkan ia bukan satu tugas mudah, Syahredzan yakin tidak mustahil untuk DAP meningkatkan kepercayaan masyarakat Melayu yang secara tradisinya tidak menyokong parti itu.
Dalam pada itu, Syahredzan berkata dia dan Young Syefura diberi peluang oleh perwakilan untuk menjadi anggota CEC DAP walaupun penyertaan orang Melayu tidak sampai 10 peratus dalam parti itu.
"Jadi menunjukkan bahawa walaupun kurang daripada 10 peratus perwakilan ataupun ahli Melayu tetapi para perwakilan dalam kongres yang baru ini berlangsung tetap memberi peluang kepada kami berdua untuk memimpin atau termasuk dalam CEC.
"Ia menunjukkan bahawa sebenarnya perwakilan kita ini memang tidak melihat kepada bangsa dan agama.
“Mereka melihat apa kesesuaian adakah seseorang calon itu boleh membawa parti ke persada yang lebih tinggi," katanya lagi.