Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menumbuk kepala seorang wanita di Taman Satria, Senawang pada 29 Mac lalu.
Abdul Hafis Abu Bakar, 35, didakwa dengan sengaja menumbuk Syairah Md Sharom, 28, di lokasi itu pada jam 10.20 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu timbalan pendakwa raya Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chrysandy Lai, yang mewakili Abdul Hafis memohon jumlah tersebut dikurangkan atas alasan lelaki terbabit mempunyai dua anak yang masih kecil serta menjaga ibu bapa.
Majistret Syed Farid Syed Ali kemudian membenarkan Abdul Hafis diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Lelaki itu ditahan selepas didakwa menggunakan kekerasan terhadap seorang pemandu wanita sehingga menyebabkan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.
Insiden itu berlaku susulan wanita terbabit - yang memandu sebuah kereta - tidak sempat mengelak ketika isteri lelaki berkenaan dan anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun melintas jalan.
Kejadian itu menyebabkan pasangan ibu dan anak berkenaan mengalami cedera ringan.
- Bernama