ADS
mk-logo
Berita
Kastam Pahang rampas bijih timah seludup RM2.8 juta

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan bijih timah dianggarkan bernilai lebih RM2.8 juta hasil serbuan di sebuah jeti haram di Rompin, pada 11 Mac lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, serbuan itu dilakukan pegawai dan anggota bahagian penguatkuasaan sekitar jam 2 pagi selepas mendapat maklumat awam dan intipan.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat lima suspek lelaki sedang memunggah bijih timah yang diisi dalam guni berwarna putih dari kapal dan lori.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan membawa kepada penemuan dan rampasan 600 guni dengan setiap satu mengandungi 50 kilogram (kg) bijih timah.

"Jumlah rampasan keseluruhan (bijih timah) adalah sebanyak 30,000 kg dengan nilai RM2,857,500," katanya dalam sidang media di pejabat JKDM Pahang, dekat Kuantan, hari ini.

ADS

Mohd Asri memaklumkan, lima suspek ditahan melalui serbuan itu dan mereka sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin pada 21 Mac lalu.

Katanya, seorang daripada suspek adalah warga tempatan manakala empat lagi warga Indonesia.

"Mereka yang berusia antara 23 hingga 53 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika didakwa di mahkamah," jelasnya.

ADS

Dia memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1), Seksyen 52 (1) dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan lori digunakan dalam aktiviti itu dianggarkan RM4.1 juta.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti negara asal bijih timah berkenaan.

"Buat masa ini, kita tidak menolak kemungkinan bahan mineral itu dibawa dari negara jiran untuk diproses menjadi jongkong timah bagi pasaran tempatan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS