ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Razlan tegur Fadhli: Berhenti sindir, main politik murahan di tengah krisis
Diterbitkan:  Apr 6, 2025 10:19 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii menggesa Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari agar "membaca keadaan" dan berhenti membuat sindiran dan “bermain politik murahan” di tengah insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights.

Gesaan itu susulan saranan sinis Fadhli terhadap Menteri Besar Selangor Amirudin Shari agar dia mengambil cuti.

“Fadhli tidak pernah gagal untuk mengkritik walau dalam apa jua keadaan. Dalam setiap krisis, dia tampil bukan untuk membantu, tetapi untuk mengkritik tanpa asas,” kata Razlan dalam kenyataan hari ini.

“Tindakannya bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menambah luka di saat rakyat sedang merintih. Di mana semangat menjaga tanah air? Di mana rasa hormat kepada mangsa?

ADS

“Kalau berlaku bencana besar di negara ini, na’uzubillah – saya berdoa agar tiada lagi ahli politik seperti ini yang hanya tahu menyalahkan dan mencari populariti atas penderitaan rakyat,” kata ketua Umno Seputeh itu lagi.

Ahmad Fadhli Shaari

Kebakaran besar yang berlaku di saluran gas Petronas pada pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, sehingga mengubah keadaan kawasan itu menjadi kawah besar.

Kejadian itu turut memusnahkan deretan rumah dan harta benda dalam lingkungan 500 meter.

Semalam, Fadhli secara sinis menggesa Amirudin untuk berehat selepas dia mendakwa parti PAS membuat fitnah dan putar belit fakta berkaitan insiden itu.

ADS

“Ambil tempoh bertenang, buat video TikTok. Serahkan kepada pihak polis dan jabatan berkaitan sahaja untuk membuat kenyataan berikutnya,” kata Fadhli.

Dia merujuk kenyataan awal Amirudin pada 1 April yang menyatakan tiada jentera ekskavator dilihat di tempat kejadian.

Bagaimanapun, polis kemudian mengesahkan bahawa jentera itu dijumpai tenggelam di dalam tanah.

Amirudin menafikan sebarang percanggahan, dengan menegaskan bahawa kenyataannya dibuat berdasarkan pemerhatian awalnya sendiri dan menyeru orang ramai agar menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS