Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa dia akan melanjutkan khidmat Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama enam bulan.
Free Malaysia Today melaporkan Anwar sebagai berkata, tiada keputusan dibuat setakat ini berkenaan tempoh khidmat Azam yang bakal tamat pada penghujung Mei.
“Kita akan umumkan apabila ada keputusan… kita akan lihat bila ia tamat,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat.
Semalam, sumber Bloomberg melaporkan Anwar dijangka meluluskan pelanjutan khidmat Azam, kemungkinan untuk tempoh enam bulan.
“Empat orang yang rapat dengan situasi itu, yang meminta nama mereka tidah didedahkan membincangkan perkara sulit, berkata ketika itu kedua-dua, pegawai SPRM dan sekutu politik perdana menteri berada di bawah tanggapan bahawa mereka telah mencapai persefahaman - tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM akan dilanjutkan sebagai balasan untuk bertindak ke atas seteru Anwar.
“Azam dan Anwar menafikan mereka mempunyai persefahaman dan berkata SPRM beroperasi secara bebas daripada perdana menteri," tambah laporan itu.
Azam memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak Mac 2020. Kontraknya kemudian dilanjutkan setahun pada 10 Mei 2023, dan dilanjutkan lagi setahun pada tahun berikutnya.
Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan calon bagi jawatan Duta ke Amerika Syarikat, dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.