ADS
mk-logo
Berita
Kes Abang Belon: Dua daripada tiga kertas siasatan diserah kepada TPR

Dua daripada tiga kertas siasatan yang dibuka susulan insiden melibatkan seorang peniaga belon dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kertas siasatan yang diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), adalah di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

“Siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah masih menunggu maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berkaitan sebuah laman web yang dikaitkan dengan kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman hari ini.

Mohd Shuhaily pada masa yang sama turut menyeru orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu yang bersifat sentimen.

“Orang awam perlu bersikap matang, sentiasa mematuhi undang-undang dan bekerjasama memelihara keharmonian negara,” katanya.

ADS

Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa peniaga belon berkenaan, yang digelar “abang belon” oleh netizen, mempunyai 13 rekod kesalahan lampau, kebanyakannya berkaitan kesalahan dadah.

“Suspek pernah didakwa atas enam daripada kes tersebut sebelum ini,” maklum sumber itu.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) malam tadi apabila serbuan DBKL terhadap peniaga tanpa lesen bertukar menjadi pergaduhan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob juga dilaporkan berkata bahawa tiga laporan telah diterima berkaitan insiden tersebut pada 28 Mac lepas.

Laporan pertama dibuat oleh seorang pegawai penguat kuasa DBKL dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis turut menerima laporan kedua daripada seorang lagi pegawai DBKL berhubung penyebaran gambarnya di Facebook yang disertai dengan kenyataan berunsur ancaman.

Laporan ketiga pula dibuat oleh ibu kepada peniaga belon itu Muhammad Zaimuddin Azlan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS