Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Syarikat digesa agar tidak buang pekerja susulan 'tarif voodoo'

Khazanah Research Institute (KRI) menggesa syarikat-syarikat perniagaan agar tidak mengambil jalan keluar memecat pekerja mereka secara beramai-ramai sebagai tindak balas kepada kenaikan tarif terbaru Amerika Syarikat (AS), yang disifatkannya berdasarkan formula “tarif voodoo”.

Timbalan pengarah penyelidikannya, Yin Shao Loong, mengkritik metodologi di sebalik tindakan AS, sambil menganggapnya sebagai "formula arbitrari yang tidak mencerminkan realiti ekonomi atau berakar umbi dalam mana-mana realiti kadar tarif."

Yin Shao Loong

Dia menjelaskan bahawa tarif itu diperoleh dengan membahagikan imbangan perdagangan Malaysia dengan jumlah eksportnya ke AS, yang menghasilkan angka yang kemudiannya ditukar menjadi peratusan, yang seolah-olah arbitrari meningkatkan lebihan dagangan sebenar.

“Angka 47 peratus itu tidak ada kaitan dengan mana-mana tarif yang Malaysia sebenarnya ada dengan AS,” katanya.

Semalam, Malaysia adalah antara 60 negara yang dikenakan "cukai timbal balik" oleh AS manakala import dari seluruh dunia dikenakan tarif minimum 10 peratus, yang semuanya akan berkuat kuasa dalam tempoh kurang seminggu.

Sebagai sebahagian daripada langkah pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menangani defisit perdagangan republik itu, Malaysia berdepan “cukai timbal balik” sebanyak 24 peratus dengan pengecualian terhadap barangan tertentu.

"Mereka tidak menggunakan tarif untuk menentukan kadar tarif timbal balik ini.

“Sebaliknya, mereka menggunakan formula berdasarkan imbangan perdagangan Malaysia 2024, AS$24.8 bilion, yang dibahagikan dengan jumlah import ke AS, iaitu AS$52.5 bilion, menjadikannya 0.47, yang kemudian ditukar menjadi 47 peratus.

“Bagaimanapun, untuk mengurangkan kesan ke atas pengguna AS, pegawainya secara arbitrari mengurangkan separuh angka itu, menjadikan kadar tarif Malaysia turun kepada 24 peratus,” katanya, dengan alasan pendekatan ini menghasilkan angka arbitrari.

"Ya, jadi pada dasarnya ia adalah tarif voodoo," katanya.

Yin berhujah bahawa pendekatan ringkas ini, walaupun mudah dikira, mengabaikan kerumitan perdagangan global yang lebih luas dan tidak menggambarkan dengan tepat kedudukan ekonomi Malaysia.

Wakil Perdagangan AS (USTR), yang mengeluarkan tarif perdagangan itu, mengakui cabaran untuk mengira kadar tarif sebenar.

Dalam menjelaskan formula "tarif timbal balik" di laman webnya, USTR mengakui bahawa pengiraan kesan tarif, peraturan, cukai dan dasar lain di setiap negara akan menjadi rumit, jika tidak mustahil untuk dikira, disebabkan oleh banyak faktor yang terlibat.

Kedua-dua Malaysia dan AS adalah ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang menetapkan peraturan perdagangan global.

Yin berkata USTR mengakui purata kadar tarif Negara Paling Digemari (MFN) Malaysia ke atas import AS ialah 5.6 peratus, menunjukkan bahawa Malaysia sudah mengekalkan tarif yang agak rendah ke atas barangan Amerika.

Kadar tarif MFN ialah tarif standard yang digunakan untuk negara anggota WTO tanpa perjanjian perdagangan khas.

"Tetapi mereka memutuskan untuk mengenakan tarif 47-24 peratus kepada kami. Jadi, ia tidak berkadar atau timbal balik," katanya.

Yin berkata semua perjanjian perdagangan sedia ada telah diketepikan.

"AS membuang buku peraturan dengan melakukan ini."

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS