ADS
Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PSM dedah kepincangan URA, mahu PM tangani kritikan
Diterbitkan:  Apr 4, 2025 2:57 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus menangani kritikan terhadap Akta Pembaharuan Bandar (URA) dan bukan mengketepikannya sebagai serangan bermotif politik, kata Pengerusi PSM Dr Jeyakumar Devaraj.

Kenyataan itu dibuat selepas Anwar membidas pengkritik rang undang-undang itu dan menegaskan bahawa dia tidak akan membiarkan orang Melayu dan bumiputera kehilangan tempat mereka di bandar, mahupun undang-undang memihak kepada pemaju.

Dr Jeyakumar Devaraj

Jeyakumar berkata pihaknya mendapati ada beberapa kepincangan ketara dalam undang-undang yang dicadangkan itu dan menggesa kerajaan menanganinya.

“Pertama ialah tiada klausa dalam URA yang mewajibkan penduduk asal akan ditempatkan semula di hartanah baharu yang dibangunkan di tapak itu.

ADS

“Dan tidak ada klausa khusus yang menyatakan komposisi etnik bagi hartanah kediaman baharu itu akan sama seperti sebelum projek pembaharuan bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jeyakumar berkata mekanisme semak dan imbang di bawah rang undang-undang - Jawatankuasa Pengantaraan Pembaharuan Bandar - yang ditubuhkan di bawah Seksyen 14 (2) draf URA - adalah cacat kerana ia ditubuhkan atas kehendak kerajaan negeri.

Dia menambah bahawa proses jelas untuk menubuhkan jawatankuasa meditasi adalah penting untuk memastikan ia dapat menyediakan penyelesaian yang berkesan buat penduduk yang diusir dari rumah mereka.

“Kemungkinan kerajaan negeri mempunyai ‘hubungan istimewa’ dengan pemaju tidak boleh ditolak.

ADS

“Justeru, perlu ada jawatankuasa bebas, mungkin terdiri daripada hakim yang telah bersara, peguam kanan, dan aktivis untuk menyediakan platform yang sesuai untuk penduduk yang tidak berpuas hati dengan syarat perumahan alternatif atau pampasan yang ditawarkan.

"Jawatankuasa ini mesti mempunyai kuasa untuk menghantar semula cadangan pampasan kepada penduduk untuk dirundingkan semula, jika perlu," kata bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu.

Bagaimana dengan penyewa miskin?

Satu lagi kepincangan rang undang-undang itu, kata Jeyakumar, ialah ia terlepas pandang hakikat bahawa sebilangan besar penduduk di rumah-rumah usang berkenaan sebenar tidak memilikinya.

Sebaliknya, mereka adalah keluarga daif yang tinggal di situ kerana sewa yang murah lagi rendah.

"Mereka mewakili keluarga termiskin di bandar-bandar. URA bercakap tentang memberi pampasan kepada pemilik hartanah ini, tetapi membisu tentang keperluan perumahan keluarga miskin yang menyewa.

"Semua kepincangan dalam URA ini mesti diperbetulkan," katanya.

Jeyakumar menambah: “Undang-undang yang kita luluskan sekarang mesti tahan ujian masa dengan mempunyai perlindungan yang kukuh.

"Ia sepatutnya membolehkan penduduk yang terjejas, kedua-dua pemilik dan penyewa, menolak dengan berkesan terhadap tawaran dan tindakan yang bertentangan dengan kepentingan mereka."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS