Dr Mahathir Mohamad, yang pernah dikritik sebagai pemerintah kuku besi semasa menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, kini menuduh Anwar Ibrahim mempamerkan kecenderungan seorang diktator.
Mahathir, yang akan mencecah usia 100 tahun pada Jun ini, juga mengimbau kembali Perang Dunia II untuk menyerang bekas anak didiknya yang menerajui "kerajaan perpaduan".
Menerusi satu hantaran di Facebook, katanya, sepanjang tempoh ini, Winston Churchill mengetuai kerajaan campuran, yang memberi tumpuan kepada kepimpinan dan strategi perang, yang membabitkan anggota daripada parti politik yang berbeza termasuk dari pembangkang.
"Ia secara berkesan adalah kerajaan perpaduan. Semua parti - Parti Konservatif yang diketuai oleh Churchill, Parti Buruh yang diketuai oleh Clement Attlee, dan Parti Liberal yang diketuai oleh Archibald Sinclair duduk dalam kabinet. Attlee berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri, Sinclair berkhidmat sebagai setiausaha untuk udara.

"Oleh itu, keputusan kabinet dibuat oleh semua parti dalam kerajaan campuran. Tidak ada keperluan untuk parti-parti supaya setia kepada Parti Konservatif atau perdana menteri. Kesetiaan mereka adalah kepada negara," katanya.
Sebaliknya, Mahathir berkata bahawa pematuhan ketat untuk mengikut garisan diperlukan dalam "kerajaan perpaduan" Anwar, sambil memberi amaran bahawa kritikan terhadap perdana menteri boleh membawa kepada tindakan menghukum.
“Parti yang ahli Parlimennya tidak menyokong perdana menteri tidak diterima dalam kerajaan.

"Adalah dipersoalkan sama ada kerajaan ini adalah kerajaan perpaduan. Ia adalah gabungan penyokong ‘pak sanggup’. Bukan kerajaan perpaduan," tambahnya.
Semasa pemerintahannya selama 22 tahun sebagai perdana menteri, Mahathir sering dituduh mempamerkan sikap tidak bertolak ansur terhadap sebarang perbezaan pendapat politik. Kerajaannya berdepan kritikan meluas kerana menyekat pembangkang dan kebebasan bersuara.
Di bawah pemerintahannya, lebih seratus individu telah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan.

Anwar, yang pernah menjadi pengkritik tegar rejim kuku besi Mahathir, kini berdepan dengan tuduhan serupa daripada pembangkang.